Pas alu-alukan dialog bagi atasi salah faham - Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengalu-alukan dialog berterusan bagi mengatasi salah faham atau kecenderungan dan tindak-tanduk yang kelihatan gagal menjunjung tonggak teras masyarakat Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam konteks hubungan antara rakyat yang berlainan anutan dan kepercayaan, situasi itu boleh mendedahkan kepada konflik dan ketegangan yang tidak perlu mahupun produktif.

Menurutnya, beberapa isu melibatkan ajaran, hukum-hakam dan keperluan diet umat Islam misalnya boleh dielakkan sekiranya semua pihak saling menghormati serta memahami batas-batas sensiviti setiap kumpulan dalam masyarakat.

“Sikap mengambil mudah, apatah lagi meremehkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain adalah berlawanan sama sekali dengan identiti saling menghormati Malaysia dan tidak boleh dipertahankan.

“Ia seharusnya dihentikan dengan tegas dan segera kerana kegagalan berbuat demikian baik atas kepentingan politik, perniagaan, oportunis atau pertimbangan lain hanya akan mengundang respons yang sama buruknya daripada kelompok yang terkesan.

“Atas semangat tahun baharu dan permulaan baharu, sewajarnya semua pihak memurnikan komitmen bersama pada identiti teras Malaysia yang selama ini telah berjaya membawa kita ke titik kemajuan serta keharmonian hidup yang boleh dibanggakan, selain menjadi simbol keberhasilan wawasan kebangsaan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menambah, Pas juga mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Cina dan mengharapkan sambutan kali ini membawa kegembiraan, keberkatan dan kesejahteraan kepada semua.

Jelasnya, daripada sudut lebih luas, perayaan ini dan perayaan tahunan masyarakat lain di Malaysia turut menjadi lambang keharmonian dan kerukunan rakyat yang hidup dalam realiti kepelbagaian budaya, anutan dan latar belakang kepercayaan.

“Sebagai negara yang rencam sifatnya, sudah semestinya sikap saling menghormati, menghargai dan memahami kekal sebagai keperluan asasi bagi memastikan kehidupan bersama menjadi munasabah, produktif dan bermanfaat.

Artikel Berkaitan:

“Lebih daripada itu, ia seharusnya menjadi identiti teras dan aset eksklusif rakyat Malaysia setelah melalui kehidupan bersama sejak sekian lama.

“Sikap saling menghormati dan saling memahami bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir Malaysia yang menjadi amalan pada setiap masa,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!