Sambung belajar menerusi Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 Pahang

A
A
A

PENGANJURAN program Jom Masuk IPT anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bakal memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Pada program yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Zon 2 sebagai tuan rumah itu, pelajar dan ibu bapa berpeluang bertemu dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej ketika pameran.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian serta syarat-syarat kelayakan yang diperlukan.

Terdapat sebanyak 100 reruai pempamer daripada universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta, politeknik, kolej komuniti, institusi latihan kemahiran awam dan institusi-institusi lain.

Pempamer terlibat akan menyediakan maklumat kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi seluruh negara bagi sesi kemasukan 2020, maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan, semakan kelayakan dan nasihat akademik.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Ts. Dr Mohd. Rosli Hainin berkata, program itu merupakan pusat sehenti bagi menyebar luas maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara termasuk penawaran pengajian pra siswazah, pasca siswazah, pengajian sepanjang hayat dan program atas talian (MOOC).

“Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RUTM), program kali ini turut memberi peluang kepada ibu bapa dan pelajar mengetahui tentang pengajian program teknologi kejuruteraan yang ditawarkan UMP.

“Maklumat bidang berkaitan program pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dalam pasaran menjelang era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) turut disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mulai Sesi Akademik 2020-2021, UMP menawarkan 36 Program Sarjana Muda dan enam Program Diploma termasuk program Ijazah Sarjana Muda Teknologi bagi menyediakan pelajar yang kompeten dalam bidang teknikal dan memenuhi keperluan industri.

“Turut diadakan, pameran dan demonstrasi sains dan teknologi termasuk Lego Mindstorm Robot, Augmented Reality (AI) Educational Book, Social Robot (Facial Emotion Recognition) dan Kit STEM Bot selain program keusahawanan serta kebudayaan melibatkan mahasiswa UMP,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran Jom Masuk IPT Zon 2 (Pahang) pada 22 dan 23 Februari ini akan disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Kompleks Sukan UMP Gambang.

Penganjuran Jom Masuk IPT 2020 dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru pada 15 dan 16 Februari lalu sebagai pembuka tirai.

Selain UMP, lokasi lain yang dijadualkan termasuk Taman Tasik Darul-aman, Jitra (29 Feb dan 1 Mac), Sabah International Convention Centre (7 dan 8 Mac), Amanjaya Convention Center, Ipoh (14 dan 15 Mac), Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu (14 dan 15 Mac), Borneo Convention Centre (21 dan 22 Mac) dan MAEPS, Serdang (28 dan 29 Mac 2020).