PBT disaran kekalkan status quo jualan arak - Kor Ming

Kor Ming ketika bercakap kepada pemberita di Ipoh pada Ahad.
Kor Ming ketika bercakap kepada pemberita di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

"Dalam hal ini kita nak jaga keharmonian semua. Jadi bagi saya, kita akan kekalkan status quo waktu ini kerana tiada isu pun.

"Mereka yang tidak boleh minum, jangan belilah dan kita pun tidak boleh larang orang yang boleh minum kerana itu hak dia.

"Jangan lupa juga bahawa premis yang menjual (minuman keras) di mana-mana kawasan pun semuanya ada lesen dan perniagaan itu bukan perniagaan yang tidak sah di sisi undang-undang," katanya.

Kor Ming menyantuni peniaga di Pasar Taman Canning, Ipoh pada Ahad.
Kor Ming menyantuni peniaga di Pasar Taman Canning, Ipoh pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Taman Canning di sini pada Ahad.

Kor Ming berkata, sekiranya terdapat mana-mana permohonan daripada komuniti setempat untuk mengenakan larangan tersebut, perkara itu perlulah dinilai dan diteliti mengambil kira kepentingan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perpaduan rakyat ketika ini sudah berada di landasan yang betul dan semua pihak seharusnya fokus terhadap usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang disanjung di pentas dunia.

"Sebab itu saya sentiasa berikan nasihat, kita jangan hilang fokus dengan isu-isu remeh yang tidak membina.

"Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak membantu sesiapapun hanya merugikan semua pihak," katanya.

Kor Ming menunjukkan tulisan kaligrafi yang dihasilkan ketika sesi lawatan ke Pasar Taman Canning, Ipoh pada Ahad.
Kor Ming menunjukkan tulisan kaligrafi yang dihasilkan ketika sesi lawatan ke Pasar Taman Canning, Ipoh pada Ahad.

Pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Media melaporkan, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!