X

Kindly register in order to view this article
!

Kuatkan rohani berdepan wabak, hindari dengan ubat dan tingkatkan kawalan

JIKA memakai topeng muka boleh mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit, pakailah untuk kebaikan bersama.
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, satu demi satu wabak datang tanpa diundang. Bukan satu tempat sahaja yang diserang, namun ia melibatkan puluhan buah negara.

Pada penghujung tahun lalu, negara kita menerima kejutan penularan kes influenza A. Ia menimbulkan situasi panik sehinggakan vaksin influenza dilaporkan kehabisan stok di klinik dan hospital.

Tambah menyesakkan dada apabila pada penghujung tahun lalu juga, seluruh dunia digemparkan dengan serangan sejenis wabak baharu koronavirus (Covid-19). Ancaman virus menakutkan itu masih berlanjutan sehingga kini dengan melibatkan puluhan buah negara.

Lebih menggusarkan, wabak berkenaan yang agresif menular telah meragut lebih 2,000 nyawa di seluruh dunia.

Belum reda dengan kes-kes berjangkit yang merisaukan, Nigeria pula dilanda wabak demam lassa hingga membawa maut melibatkan puluhan orang penduduknya.

Semua wabak tersebut, jika dilihat dengan mata kasar, hanyalah sejenis penyakit. Namun demikian, hakikatnya ia merupakan satu bentuk ujian kepada hamba-hamba-NYA.

Apa yang pasti, Islam mengajar umatnya supaya berusaha dan melakukan ikhtiar sebaik mungkin dalam menghadapi apa jua dugaan. Selebihnya, serahkan kepada ALLAH.

Sesungguhnya, setiap ujian yang diberikan itu bagi menguji sejauh mana kesabaran kita berdepan dengan dugaan dan tahap kebergantungan kita kepada-NYA.

Kita sebenarnya tidak ditinggalkan bersendirian dalam menangani wabak itu. Islam sudah menyediakan garis panduan lengkap dan berstruktur ketika dilanda wabak.

Apa yang sedang kita lalui kini dan langkah yang diambil pihak berwajib, semua itu secara jelas ada garis panduannya.

Apakah pengurusan wabak di sisi Islam? Apa yang dianjurkan oleh agama suci itu selain berusaha dan berikhtiar menangani wabak?

Contohi cara Saidina Umar

Menjawab persoalan tersebut, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menjelaskan, Islam sudah menyediakan kaedah-kaedah untuk menguruskan wabak.

MOHAMAD SHUKRI
MOHAMAD SHUKRI

Antara perkara yang menjadi keutamaan terangnya adalah mengawal wabak berkenaan.

"Semua sedia maklum bahawa mengawal itu lebih baik daripada mengubati. Apabila berlaku sesuatu wabak, ia perlu dikawal. Jika memerlukan sekatan seperti tidak membenarkan pelancong yang membawa wabak berkenaan masuk, langkah itu perlu dilakukan.

"Bagi orang yang dijangkiti penyakit atau wabak berkenaan, mereka kena dikuarantin. Ini bagi mengelak penyakit itu dibawa ke tempat lain. Begitu juga dengan individu yang sihat, jangan pergi ke tempat wabak berkenaan. Ia sebenarnya salah satu kaedah dalam Islam," katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Dari aspek kebersihan, tegasnya, jika memakai topeng muka boleh mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit, maka sebaiknya perlindungan itu dipakai untuk kebaikan bersama.

Dalam menangani wabak itu, Mohamad Shukri mengajak untuk menelusuri kisah wabak taun yang berlaku ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab.

Imbasnya, Umar ketika itu dalam perjalanan ke Syam (kini dikenali sebagai Syria). Apabila dikhabarkan bahawa tempat berkenaan dilanda wabak taun, rombongannya tidak jadi masuk ke kawasan berkenaan.

Salah seorang sahabat, Abu Ubaidah Al-Jarrah berkata: "Apakah kamu ingin lari daripada ketentuan ALLAH? Kita memang dalam perjalanan ke Syam."

Lantas, Umar RA menjawab: "Saya lari daripada qada takdir Tuhan menuju ke qada takdir Tuhan yang lain."

Apa pun, tokoh agama itu menitipkan pesan agar kita tidak sesekali melupakan ALLAH SWT.

"Saya menyeru kepada semua umat Islam supaya mengadakan solat hajat dan berdoa di masjid-masjid bagi mengelakkan wabak ini lebih ketara.

"Setiap orang juga perlu menjaga kebersihan diri. Ikutilah cara yang dianjurkan Islam seperti mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya," ujar beliau.

Hati-hati ketika bermuamalah

Bagi membutirkan lebih lanjut, Sinar Islam menemubual pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

USTAZ FAUZI
USTAZ FAUZI

Jelas beliau, Islam menyuruh umatnya agar mengelakkan diri daripada bergaul dengan mereka yang dijangkiti virus.

Sabda Rasulullah SAW: "Larilah kamu daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa." (Sahih Bukhari)

Dalam perihal muamalah, ujar beliau, kita perlu berhati-hati. Sebaiknya, elakkan diri daripada ke rumahnya ketika individu berkenaan sedang terkena jangkitan berkenaan.

"Ini kerana virus itu cepat berjangkit dan kita tidak perasan (kehadirannya) dalam udara, pernafasan, sentuhan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, Islam juga menyuruh umatnya mengasingkan pesakit dengan orang yang sihat.

"Sedangkan, Nabi Muhammad SAW apabila salah seorang isteri baginda terkena sakit mata, baginda tidak akan menyentuh isterinya sehingga sembuh. Perkara itu ada dinyatakan dalam kitab Thibbun Nabawi (kitab perubatan nabi)," jelas beliau.

Rasulullah SAW bersabada: “Taun adalah tanda kemurkaan ALLAH yang mana ALLAH menguji hamba-hamba-NYA. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya." (Riwayat Muslim)

Lazimi qunut nazilah, bismillah

Menyentuh tentang usaha memusnahkan 'sarang' virus yang dianjurkan oleh Islam, Ustaz Fauzi menambah, ia perlu dihapuskan sebagaimana melakukan semburan nyamuk demi menghapuskan demam denggi di sesebuah kawasan.

DIRIKANLAH solat hajat agar ALLAH menjauhkan kita daripada terkena wabak yang memudaratkan.
DIRIKANLAH solat hajat agar ALLAH menjauhkan kita daripada terkena wabak yang memudaratkan.

Namun begitu katanya, sekiranya virus tadi datangnya daripada badan kita sebagai puncanya, Rasulullah SAW menyuruh untuk melakukan pembedahan.

"Ketika zaman baginda, ada seorang individu menderita terkena bisul hingga bernanah, lalu nabi menyuruhnya untuk menoreh (lakukan pembedahan) bisul berkenaan," kata beliau.

Apa jua penyakit atau wabak yang menimpa, Ustaz Fauzi menasihatkan orang ramai agar makan ubat sebagaimana yang dipesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

Baginda SAW bersabda: "Hendaklah kamu mendapatkan dua penawar iaitu madu lebah dan al-Quran." (Riwayat Ibnu Majah)

"Apakah maksud nabi? Kata tuan guru saya, Allahyarham Datuk Dr Haron Din ketika masih hidup, madu lebah adalah perumpamaan ubat fizikal. Ertinya, ia merangkumi segala penawar fizikal sama ada ia habbatus sauda, pil, kapsul atau (ubat) cecair yang doktor berikan.

"Makanlah ubat itu, kemudian biarlah ada penawar al-Quran sebab kadangkala orang yang ditimpa virus penyakit ini, dia rasa tidak selamat dan umurnya pendek kerana tahap kekuatan rohaninya jatuh. Sebab itu dia perlu mengaji al-Quran untuk meningkatkan semula rohaninya," katanya.

Seperkara, Ustaz Fauzi turut menitipkan pesan agar melazimi qunut nazilah dalam solat fardu. Perkara itu sunat dilakukan sepertimana yang disebut oleh Mazhab Syafie apabila berlaku penularan wabak di suatu kawasan.

"Bagi mereka yang sihat, lakukanlah doa qunut nazilah ketika menunaikan solat fardu. Pada rakaat akhir, bacalah qunut nazilah. Ia macam (baca) doa qunut subuh iaitu selepas bangun dari rukuk untuk iktidal, tetapi doanya lain iaitu doa untuk menghindari wabak dan penyakit. Mohonlah kepada ALLAH SWT supaya dihindarkan segala penyakit.

"Paling tidak pun, bacalah Bismillahir rahmanir rahim dalam setiap perkara yang kita hendak lakukan termasuklah ketika menekan butang lif. Dengan bismillah itu, syaitan yang besar boleh jadi kecil. Inikan pula kuman. Ia sebenarnya meletakkan pergantungan kita kepada ALLAH SWT," ujar beliau.

Berpunca daripada 'tangan-tangan manusia'

DALAM kepahitan menelan ujian wabak yang diturunkan ALLAH SWT, terselit hikmah di sebaliknya. Ia sebenarnya mendekatkan manusia dengan penciptanya.

Perkara itu diakui pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran. Ujar beliau, sehebat atau secanggih mana teknologi ciptaan manusia, lebih hebat dan ampuh lagi kekuasaan ALLAH SWT.

IMAM MUDA ARAN
IMAM MUDA ARAN

"Ujian itu menjadikan kita mengenali Tuhan dengan lebih dekat. Apabila ditimpa dugaan sebegini, ia akan menjadikan kebergantungan hidup kepada ALLAH itu lebih tinggi.

"Ya, pelbagai usaha sudah kita lakukan, namun pada masa sama, kita perlu juga meminta pertolongan ALLAH agar dihindarkan atau dijauhkan daripada wabak yang tidak kita kehendaki," katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Tambah beliau, ujian berkenaan turut menyatukan semula manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara, selain menyedarkan kita bahawa sampai kiamat, manusia tetap bergelar hamba kepada ALLAH SWT.

"Mahu atau tidak, kita perlu patuh kepada segala suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA. Ingatlah bahawa segala musibah bukan ditimpa ke atas orang yang buat (salah) sahaja, tetapi semua orang boleh 'berjangkit' sama," katanya.

Firman ALLAH SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan ALLAH memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah al-Syura, ayat 30)

Ketahuilah bahawa setiap yang berlaku sebenarnya berpunca daripada tangan-tangan manusia itu sendiri, terang beliau.

"Maknanya apa yang kita buat, jika baik (perlakuan dan tindakan), (maka) baiklah natijahnya. Kalau tak baik, akibatnya kita sendirilah yang akan menanggungnya.

"Islam mempunyai garis panduan dalam kehidupan daripada A sampai Z. Ada perkara yang boleh dilakukan dan ada juga yang kita ditegah untuk melakukannya. Jika kita ikut undang-undang Islam itu, maka selamatlah di dunia dan di akhirat.

"Contohnya dalam amal ibadah, boleh dikatakan 24 jam kita boleh melakukan ibadah. Ini kerana, ibadah dalam Islam bukan sekadar solat, mengaji atau zikir sahaja, tetapi setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah ibadah. Itulah kelebihan Islam berbanding dengan agama lain. Maknanya, kita tidak boleh beralasan lagi untuk tidak melakukan ibadah," jelas beliau.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran menasihatkan kita agar tidak mengambil kesempatan atas musibah orang lain.

"Sebaliknya, banyakkanlah berdoa dan meminta bersungguh-sungguh kepada ALLAH atas musibah yang melanda. Kebergantungan kepada ALLAH itu perlu ada kerana DIA yang turunkan (ujian) ini. Kembalilah semula kepada ALLAH SWT," ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus