Cuping telinga kanak-kanak autisme putus digigit kuda

Gambar hiasan 123RF. Keadaan cuping telinga kanak-kanak autisme putus digigit kuda.
Gambar hiasan 123RF. Keadaan cuping telinga kanak-kanak autisme putus digigit kuda.
A
A
A

SEREMBAN - Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di sebuah ladang agro di sini bertukar tragedi apabila cuping telinga anaknya yang merupakan kanak-kanak autisme putus akibat digigit kuda.

Bapa mangsa, Suhaimi Mohd Rafi, 31, berkata, anak lelakinya yang berusia enam tahun itu kini stabil, namun trauma selain sedang menerima rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang.

Menceritakan kembali detik berkenaan, Suhaimi berkata, mereka sekeluarga dari Kemaman, Terengganu datang bercuti di daerah ini pada 19 Januari lalu selepas selesai urusan di ibu negara.

"Ketika berada di agrofarm itu, anak saya mahu melihat dan bergambar dengan kuda. Penjaga kuda memaklumkan ia boleh ditunggang dengan bayaran tiket.

"Justeru, saya benarkan anak menunggang kuda sambil dikawal penjaga. Sebaik selesai, penjaga kandang memanggil kami untuk bergambar dalam kawasan berpagar tempat menunggang. Kami bersetuju dan bergambar bersama isteri," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, anaknya yang teruja mendekati kawasan kandang di kawasan berpagar itu dan sekali lagi meminta untuk mengambil gambar serta video.

"Secara tiba-tiba seekor kuda yang berada dekat dengannya menggigit telinga anak.

"Dalam masa sama, kuda itu turut menghantuk kepala anak dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera, manakala cuping telinga kiri terputus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dalam keadaan panik, dia segera membawa anaknya ke hospital swasta di Seremban bagi mendapatkan rawatan sebelum anaknya menjalani pembedahan pada malam itu dan selesai kira-kira jam 1 pagi membabitkan kos rawatan berjumlah RM10,400.

Katanya, tiga hari anaknya dirawat di hospital berkenaan dan kini menjalani rawatan susulan di Kuantan, Pahang.

"Selepas perbincangan pihak agrofarm memaklumkan akan membuat bayaran pampasan susulan kejadian ini.

"Ada yang menyalahkan saya kerana membenarkan anak mendekati kuda. Sebelum masuk ke kawasan berpagar itu, pekerja di situ memang benarkan kami untuk masuk dan anggap ia selamat," katanya.

Sebelum ini, kejadian pada jam kira-kira 6 petang itu tular sejak dua hari lepas sebaik Suhaimi memuat naiknya di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!