Ibu bapa 11 kanak-kanak GISBH belum dikenal pasti

SHAH ALAM - Seramai 11 kanak-kanak anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Selangor diletakkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum dikenal pasti ibu bapa atau penjaganya.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang mengesan waris kanak-kanak berumur antara 12 hingga 18 tahun itu agar mereka dapat kembali kepada keluarga masing-masing.
"200 kanak-kanak sudah pun pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira tiga minggu lepas... kita ada senarai nama keluarga berkenaan dan di mana mereka berada.
“11 lagi akan tamat hak penjagaan mereka pada hujung Januari ini. JKM ada kuasa untuk memohon kepada mahkamah bagi dapatkan hak penjagaan mereka bagi dua bulan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas JKM mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata, kerajaan negeri mencadangkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memberikan bantuan zakat kepada anak dan bekas ahli GISBH dengan menggunakan dana riqab.
"Dana riqab ialah elaun bulanan dan mereka perlu menghadiri ke program pemulihan. Kita akan beri elaun itu secara bulanan untuk pastikan mereka hadir ke program tersebut.
"Kalau bagi sekali (one off), kita khuatir mereka tidak akan hadir ke program ini jika dipanggil. Kami juga akan meminta LZS berikan hasil zakat asnaf kepada mereka untuk memulakan kehidupan baharu.
"Selain itu, permohonan daripada MAIS supaya dua ratus anak-anak dilepaskan itu disyaratkan untuk mereka masuk ke sekolah kebangsaan dan kita telah bersetuju untuk berikan sedikit bantuan persekolahan kepada mereka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
