Tunggu arahan selanjutnya - Polis Pulau Pinang

Hamzah (tengah) ketika melawat gerai pameran Program Gempur Dadah di ILP Kepala Batas pada Isnin.
Hamzah (tengah) ketika melawat gerai pameran Program Gempur Dadah di ILP Kepala Batas pada Isnin.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis sedang menunggu arahan lanjut pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes ugutan jenayah dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kertas siasatan telah dihantar kepada pejabat TPR sebelum ini dan menunggu tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kertas siasatan itu kita dah serahkan kepada pejabat TPR untuk sebarang ulasan dan tindakan lanjut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Gempur Dadah Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial.

Razarudin berkata, tindakan ini sekali gus menunjukkan polis tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata, polis juga sudah merakam percakapan terhadap semua pihak terlibat.

"Kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Januari lalu selepas laporan polis dibuat pada 1 Januari.

"Pada masa ini, pihak pendakwa raya mengarahkan pegawai penyiasat mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita dikatakan diugut anak menteri terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular dalam laman sosial kes membabitkan anak seorang menteri dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungannya sejak tujuh minggu lalu.

Kejadian ugutan itu dilaporkan ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang pada 24 Disember lalu.

Pada masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!