JPJ keluar 22,252 notis dalam tempoh seminggu Op khas TBC

KUANTAN - Sebanyak 22,252 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan dalam tempoh seminggu Operasi Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, dalam tempoh itu, kesalahan melibatkan motosikal merekodkan kes tertinggi dengan 9,507 kes diikuti kenderaan barangan (6,363), kereta (4,888) dan lain-lain kenderaan persendirian (1,058).
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 100,534 kenderaan dijalankan, pihaknya turut mengesan 302 kesalahan melibatkan kenderaan perkhidmatan awam, lain-lain kemderaan (93) dan kenderaan asing (41).
"Dalam tempoh seminggu Op TBC 2025 itu, 223 kenderaan dikenakan tindakan sitaan.
"Melalui operasi itu, JPJ memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL), lebih muatan, tidak memakai topi keledar dan tali pinggang, tidak mematuhi isyarat lampu merah serta menggunakan telefon bimbit.
"Turut diberi perhatian, kesalahan memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan memandu kenderaan berat di lorong laju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke ibu pejabat JPJ Pahang, Indera Mahkota di sini pada Isnin.
Turut hadir Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Sementara itu, Aedy Fadly mengingatkan semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan yang dilaksanakan selama empat hari bermula Isnin dan Selasa ini serta selepas perayaan iaitu pada 1 dan 2 Februari depan.
"Pemandu dan pemilik kenderaan yang didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Kaedah 2 (1), Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan) 2025 berdepan tindakan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh di kompaun RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan," katanya.
Jelas beliau lagi, dalam tempoh sama, 2,604 bas diperiksa di 54 depoh dan 28 terminal utama seluruh negara.
"Hasil pemeriksaan dijalankan, 60 bas diambil tindakan dan 61 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua (12 kes), ketebalan bunga tayar tidak mengikut spesifikasi dibenarkan (10 kes), guna cermin retak (6 kes) dan tidak selenggara buku log (4 kes)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

