Along Cham sujud syukur lepas tanpa bebas satu kes dadah

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pelakon, pelawak Along Cham melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, melepaskan tanpa membebaskannya (DNAA) daripada satu pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis ganja, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dituduh semula di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah berbahaya.
Hakim, Ahmad Fuad Othman mengeluarkan keputusan itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan.
"Pertuduhan terhadap kamu bawah seksyen ini diberi perintah DNAA, selepas ia diturunkan ke seksyen lain, kemudian kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret," katanya.
Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, laporan kimia berhubung kes ini telah diterima.
"Saya mohon pertuduhan bawah Seksyen Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 diberi perintah DNAA.
"Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh bawah dua seksyen lain," katanya.
Sebelum ini, bapa kepada empat cahaya mata termasuk tiga anak tiri, tidak dibenarkan untuk diikat jamin kerana pertuduhan yang dihadapi termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Pada 20 Disember tahun lalu, dia didakwa atas satu pertuduhan, ada dalam milikannya bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Muhammad Nizamudin mengaku tidak bersalah atas dua kes dadah.
Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu, dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(A)(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Sek 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, Kamal Hisham Jaafar yang mewakili tertuduh, merayu kadar itu dikurangkan.
“Dia mempunyai ketumbuhan di leher yang memerlukan rawatan berkala dari serta menanggung anak berusia 14 tahun selain ibunya berusia 64 tahun, mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Muhamad Bukhori Md Ruslan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,500 bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes.
Pada 20 Disember tahun lalu, dia dituduh atas satu pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis Kanabis anggaran berat 2.07 gram, di lokasi sama, masa dan tarikh serupa.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ini menjadikan pelakon rialiti TV ini berdepan tiga kes dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

