Afreena tertekan kenang nasib Along Cham

SEPANG - Isteri pelakon dan pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi mengakui keadaan emosinya tertekan kerana mengenang nasib suaminya kini ditempatkan dipenjara selepas tidak dibenarkan untuk diikat jamin atas dakwaan memiliki dadah jenis kanabis.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia penat dengan situasi yang menimpa mereka sekeluarga dan tidak dapat memberi kenyataan yang panjang lebar.
Bagaimanapun dia yang bekerja sebagai jurutera berkata, kekuatan hadir demi masa depan anak-anaknya.
"Saya perlu kuat untuk anak-anak, macam mana sekali pun, saya perlu hadapi situasi ini.
"Along Cham tetap suami saya, dan saya akan sentiasa dengannya dalam apa jua keadaan serta berjuang mempertahankan haknya, tiada isteri yang mahu lihat suaminya jatuh dan dalam kesakitan.
"Biy (Along), saya tahu perasaan kamu saat berada di dalam, bertahanlah, saya berjanji awak akan keluar dan kita akan hidup bahagia bersama," katanya ketika di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Selepas dibawa ke mahkamah, Afreena cuba untuk mendekati dan bercakap dengan suaminya namun dihalang pihak berkuasa kerana pertuduhan belum dibacakan.
Pada Jumaat, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat lebih 60gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

