Penternak kerang mohon kerajaan Perak bantu perbaharui TOL

TAIPING - Industri pengeluaran kerang utama negara bakal terjejas apabila lebih 250 penternak berhadapan masalah pembaharuan lesen pendudukan sementara (TOL) tapak ternakan kerang dasar laut daerah Larut Matang.
Pengerusi Persatuan Penternak Kerang Kuala Sepetang, Koay Seng Lam berkata, kelewatan agensi terlibat memproses TOL sejak 2019 menyebabkan perusahaan mereka mengalami kerugian lebih RM500,000 sebulan berikutan berhadapan dengan kegiatan mencuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Walaupun TOL masih dalam proses diperbaharui, kami masih lagi meneruskan ternakan kerana ketika ini kawasan ini dikenal pasti sangat produktif dengan kewujudan benih kerang bermula dari Tanjung Burung hingga ke Sungai Tiram Laut.
"Kawasan-kawasan lain seperti Kuala Larut, Sungai Sangga Kecil serta Kuala Sangga Besar di sini merupakan tapak ternakan yang subur dan penternak mula melabur ribuan ringgit bagi membeli benih kerang tempatan dan luar," katanya kepada pemberita di Dewan Teck Teck Seah Chee Heong Koh, Kuala Sepetang di sini pada Ahad.
Seng Lam berkata, penternak juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi menggaji pekerja bagi menjaga tapak sebagai salah satu usaha mengekang kegiatan curi kerang di perairan Kuala Sepetang di sini.

"Isu lain mula timbul apabila pencuri atau pemungut ini mendakwa kerang diternak itu tidak mempunyai TOL dan mereka berhak mengambil kerang yang ada dalam tapak ternakan sehingga menimbulkan konflik antara mereka.
"Pemungut kerang ini bukanlah nelayan berdaftar di bawah persatuan, setiap hari mereka keluar lewat petang hingga malam menaiki bot tanpa ada nombor pendaftaran untuk pungut kerang diternak di kawasan kami.
"Apabila laporan polis dibuat, tiada tindakan boleh diambil kerana isu TOL ini," katanya.
Tambah beliau, sekiranya tidak ditangani dengan baik isu tersebut ia akan mencetuskan pergaduhan dalam kalangan komuniti nelayan.
Bagi Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara, Faizul Sofian Sabddin, pihak berwajib perlulah proaktif dalam cari jalan penyelesaian dengan kaedah situasi menang-menang bagi isu pembaharuan TOL ternakan kerang dasar laut.
"Kita mencadangkan agar pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran kepada permohonan pihak nelayan selain mendapat sokongan persatuan nelayan atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Sebagai pengusaha lama melibatkan eksport kerang ke luar negara dan pemain industri kini berhadapan risiko untuk bayar kepada kerajaan (cukai) kerana tiada TOL.
"Kami juga sentiasa merujuk Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) namun jawapan diterima adalah dalam proses bermula sebelum negara dilanda Covid-19 hingga kini. Kemelut yang pengusaha sudah tahap maksimum," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda MCA Perak, Neow Choo Seong berkata, kerajaan negeri perlu lihat semula isu pembaharuan TOL ekoran Perak pernah mencatatkan pengeluaran tertinggi kerang-kerangan di negara ini pada tahun 2023.
"Kami menerima aduan bahawa lesen TOL mereka telah luput tetapi proses memperbaharuinya amat sukar dan lambat yang memakan masa bertahun-tahun.
"Kerajaan negeri perlu membantu mempermudahkan proses TOL mereka yang terdiri daripada pengusaha kecil. Menjadi tanggungjawab Jabatan Perikanan dan (PTD) agar industri ini terus berkembang dan meningkatkan ekonomi negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!