[VIDEO] ‘Agong berkenan santap nasi lemak paru, rendang kerang’

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurus Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu menzahirkan rasa syukur dan bangga apabila dipilih menjadi restoran yang dikunjungi Sultan Ibrahim pada hari keputeraan 3 Jun 2024 lalu selepas Seri Paduka Baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17.

Jurucakap yang juga pengurus bersama Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu, Mohd Nazri Samsuddin berkata, keberangkatan Sultan Ibrahim yang berkenan mencemar duli untuk bertemu rakyat serta bersantap di restoran itu membangkitkan keterujaan dalam kalangan pekerja dan pelanggan.

Seri Paduka Baginda mencemar duli dengan berkunjung ke Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu untuk bersantap sarapan.
Seri Paduka Baginda mencemar duli dengan berkunjung ke Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu untuk bersantap sarapan.

“Siapa sangka, pada hari cuti umum itu Seri Paduka Baginda mencemar duli dan memilih restoran Nasi Lemak Wanjo untuk bersantap sarapan pagi.

“Ia menjadi tarikh yang tidak dapat dilupakan dan akan sentiasa menjadi kenangan buat kami kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa dirancang dan tanpa persediaan rapi,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mohd Nazri
Mohd Nazri

Jelas Mohd Nazri, sebagai pengusaha makanan tradisi Malaysia iaitu nasi lemak, ia merupakan satu penghargaan dan pencapaian terbesar sepanjang beroperasi.

Menurutnya, Sultan Ibrahim berkenan memilih lauk paru dan rendang kerang sebagai menu santapan pada hari tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ibrahim mencemar duli untuk beramah mesra dengan pelanggan hadir ke Restoran Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
Sultan Ibrahim mencemar duli untuk beramah mesra dengan pelanggan hadir ke Restoran Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, selepas Agong bersantap pada 3 Jun tahun lalu, pihaknya tidak lagi menerima kunjungan Seri Paduka Baginda.

“Bagaimanapun, kami ada menerima pembelian untuk dibawa pulang daripada wakil Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas kunjungan Yang di-Pertuan Agong walaupun hanya sekali dan ia sangat bermakna. Bukan sahaja buat kami (warga kerja Nasi Lemak Wanjo) malah pelanggan yang ada pada hari tersebut.

“Saya difahamkan semua pelanggan yang ada pada ketika itu benar-benar teruja dengan kejutan akan keberangkatan tiba Sultan Ibrahim. Mereka juga berpeluang bergambar bersama Seri Paduka Baginda,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!