82 individu dirakam percakapan kes banduan mati di Penjara Taiping

TAIPING - Polis sudah merakam keterangan 82 individu bagi membantu siasatan kes berhubung kematian seorang banduan tahanan lelaki di Penjara Taiping disyaki dipukul warden, 17 Januari lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mereka yang diambil keterangan merupakan dua pegawai penjara dan 80 banduan.
Menurutnya, proses keterangan berkenaan masih berjalan dan akan melibatkan lebih ramai banduan serta petugas penjara sebagai saksi kes tersebut.

"Belum ada tangkapan dibuat, hanya ambil rakaman keterangan sahaja dan proses ini kita lakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa kerana melibatkan ramai pihak terlibat.
"Setakat ini kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini pada Isnin.
Zulkafli mengesahkan menerima banyak laporan berhubung kes itu yang direkodkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bermula 17 Januari lepas.
Katanya, siasatan lanjut kes itu akan diteruskan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
"Berkaitan punca kematian... itu sedang disiasat. Apapun siasatan yang telus akan terus dijalankan dalam kes ini," katanya.
Pada Isnin (hari ini) lebih 50 orang terdiri ahli keluarga dan waris berkumpul di hadapan Penjara Taiping menuntut siasatan dan tindakan diambil pihak berkuasa.
Perhimpunan dianjurkan sebuah parti politik itu dibuat berikutan dakwaan berlakunya kekasaran terhadap lebih 100 banduan tahanan hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

