[VIDEO] Amanah yakin menang berbelas kerusi di Kelantan - Mat Sabu
KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) diyakini mampu menang sehingga berbelas kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada perkembangan semasa terhadap parti itu.
Ujarnya, sokongan diberikan rakyat terhadap parti itu semakin baik, meskipun perlahan.
"Memang kita tahu parti besar yang mewakili orang Melayu ialah Pas dan UMNO. Hendak muncul di tengah-tengah itu agar sukar.
"Kita tahu pilihan raya dua tahun lalu sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) begitu teruk.
"Tetapi tidak perlu bimbang sokongan itu satu gelombang bukan tetap kerana tuduhan-tuduhan mereka untuk mengaut undi itu hanya sementara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pidato Presiden sempena Konvensyen Amanah 2024 yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
Pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan dua tahun lalu, Pas berjaya memenangi 43 daripada 45 kerusi yang ditandingi.
Dua lagi kerusi masing-masing di Kota Lama dimenangi Amanah dan Galas dimenangi BN.
Sementara itu, menyentuh mengenai pergolakan yang didakwa berlaku membabitkan Amanah di Kelantan, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengakui ia merupakan perkara biasa.
"Di Kelantan memang Amanah bergolak... kenapa mereka bergolak? Kerana semua hendak tunjuk kamilah parti hebat, maka berlakulah pergolakan.
"Kalau di kawasan itu Amanah pun tidak ada, hendak bergolak apa? Pergolakan kadang-kadang berlaku kerana ada mengatakan mereka layak jadi ketua (tetapi) Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) pula kata dia layak jadi ketua.
"Maka berlawan-kawan hendak mesyuarat agung dia bawa ahli yang ramai dan orang ini pula bawa ahli yang ramai.
"Jadi, ratusan yang hadir. Sebab itu bila saya dengar Amanah bergolak saya rileks. Saya kata sudah tentu kawasan ini akan maju," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!