Letak jawatan kalau PM suruh - Mat Sabu

Mohamad ketika berucap pada Konvensyen Amanah 2024 di Klang, Selangor
Mohamad ketika berucap pada Konvensyen Amanah 2024 di Klang, Selangor
A
A
A

KLANG - "Itu (akan dibuat) kalau Perdana Menteri suruh (letak jawatan)."

Demikian tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ditanya mengenai gesaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hanipa Midin untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya kerajaan menghalang perhimpunan anti rasuah pada Sabtu.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, Hanipa berhak untuk menyatakan pandangan dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.

"Dia (Hanipa) bebas memberi pandangan dan (hak) itu dalam dunia demokrasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah 2024, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Hanipa meminta Ahli Parlimen Kota Raja itu melepaskan jawatan sekiranya kerajaan menghalang Himpunan Rakyat Benci Rasuah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur.

Bekas Ahli Parlimen Sepang itu berkata, beliau telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai peguam mewakili Mohamad yang pernah terlibat dalam siri-siri perhimpunan aman sebelum ini.

Sementara itu Mohamad menjelaskan, Amanah tidak menghalang mana-mana ahli parti tersebut untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

"Siapa sahaja yang mahu terlibat (dalam perhimpunan), tidak ada masalah.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini kami (Amanah) ada konvensyen, kalau tidak mungkin ada yang pergi. Tiada masalah (nak sertai) itu," ujarnya.

Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah diadakan susulan perhimpunan Ambang Tahun Baharu pimpinan pelajar di Sabah yang membantah ahli politik negeri terbabit didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

Himpunan berkenaan akan berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebelum berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan akan berakhir di Dataran Merdeka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!