SHMMP: 16 barang terkawal perlu label tanda merah jambu

KUANTAN - Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 wajib dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, tanda berwarna itu perlu diletakkan sepanjang pelaksanaan SHMMP TBC berkuat kuasa dari 25 Januari hingga 2 Februari depan.
Menurutnya, langkah ini bertujuan memudahkan pengguna mengenal pasti barangan terkawal dan memastikan harga yang ditetapkan dipatuhi oleh peniaga.
"Kita berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan mesra dan hebahan SHMMP TBC 2025 serta program edaran limau mandarin di sebuah pasar raya di Bandaraya Kuantan pada Ahad.
Chon Siang menjelaskan, peniaga yang melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan tindakan tegas.
Katanya, sekiranya mereka menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjarakan selama tiga tahun, atau kedua-duanya manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
"Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000.
"Selain denda, peniaga juga boleh dikenakan kompaun bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Chon Siang berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang akan terus memantau harga sempena sepanjang sembilan hari pelaksanaan skim terbabit.
Beliau menambah, pihak KPDN Pahang akan meningkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat membeli-belah yang tumpuan orang ramai.
"Ini bagi membolehkan pemeriksaan dan penguatkuasaan SHMMP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Tindakan segera juga dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!