X

Kindly register in order to view this article
!

Rogol dan peras ugut: Mahkamah tolak rayuan bekas Lans Koperal

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal terpaksa meringkuk dalam penjara selama 20 tahun dan berdepan 15 sebatan kerana merogol, melakukan seks luar tabii dan memeras ugut seorang pelajar kolej berusia 18 tahun pada 2015, selepas gagal dalam rayuannya terhadap sabitan bagi semua kesalahan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan terakhir Muhamad Fazrul Fauzi, 34, selepas memutuskan bahawa sabitan terhadapnya adalah selamat manakala tempoh pemenjaraan dan hukuman sebatan yang dikenakan wajar.

“Kami mendapati dan berpuas hati bahawa tidak ada merit dalam rayuan tersebut yang membolehkan Mahkamah Rayuan mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Abu Bakar Jais.

Muhamad Fazrul kini bebas dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan kesnya selesai. Mahkamah Tinggi juga membenarkan pelaksanaan hukuman terhadapnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 2016, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya telah mensabitkan Muhamad Fazrul dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan 10 sebatan bagi kesalahan merogol, 10 tahun bagi kesalahan melakukan seks luar tabii dan lima tahun bagi kesalahan memeras ugut.

Mahkamah Sesyen memerintahkan Muhamad Fazrul menjalani hukuman itu secara serentak.

Muhamad Fazrul gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2018 dan ini menyebabkan dia membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Fazrul melakukan jenayah seksual terhadap mangsa di dalam tandas lelaki di tingkat satu Dataran Sunway, Petaling Jaya di antara jam 1 pagi hingga 1.45 pagi pada 27 Januari 2015.

Bagi kesalahan memeras ugut, dia didapati mendorong mangsa menyerahkan RM500 di Dataran Sunway pada hari sama dengan mendakwa bahawa pelajar itu akan dibuang kolej dan ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut fakta kes, Muhamad Fazrul yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Damansara telah menahan mangsa ketika pelajar itu sedang intim bersama teman lelakinya dalam sebuah kereta.

Peguam RSN Rayer mewakili Muhamad Fazrul manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke. - Bernama