Amanah perlu perubahan drastik menjelang PRU16

Mohamad ketika berucap pada Konvensyen Amanah 2024 di Klang, Selangor.
Mohamad ketika berucap pada Konvensyen Amanah 2024 di Klang, Selangor.
A
A
A

WALAUPUN sudah hampir 10 tahun ditubuhkan dan dua kali menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan, namun Parti Amanah Negara (Amanah) masih berdepan cabaran besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Sekiranya parti itu terus berada di takuk lama, maka peluang untuk memenangi kerusi pilihan raya lebih banyak berbanding PRU15 berkemungkinan semakin tipis.

Biar pun Amanah berhasrat untuk tampil sebagai parti Islam progresif, sehingga kini mereka masih gagal memperoleh sokongan signifikan daripada segmen pengundi Melayu-Islam di Malaysia.

Jadi tidak hairanlah jika kajian lapangan oleh Ilham Centre mendapati populariti Amanah dalam kalangan pengundi Melayu-Islam masih tidak melebihi paras lima peratus.

Kajian itu menunjukkan sokongan pengundi Melayu-Islam masih terarah kepada tiga parti utama – UMNO, Pas, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ilham Centre turut mendedahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut berdepan nasib lebih kurang sama dengan Amanah,di mana mereka bergelut untuk mendapatkan pengaruh dalam kalangan segmen ini.

Buktinya pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 membabitkan enam negeri, Amanah sekadar meraih kemenangan di kawasan bandar dan pinggir bandar yang mempunyai demografi pengundi bercampur.

Di kawasan majoriti pengundi Melayu-Islam, terutamanya luar bandar, Amanah sebaliknya tewas.

Artikel Berkaitan:

Ini membuktikan bahawa kemenangan Amanah dalam PRU, PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu banyak dipengaruhi oleh kekuatan jenama Pakatan Harapan (PH), sekali gus menunjukkan bahawa mereka bergantung kepada sokongan pengundi DAP dan PKR untuk menang kerusi.

Justeru sekiranya Amanah bertanding secara solo tanpa bantuan PKR dan DAP, sudah pasti mereka tidak mempunyai peluang untuk menang.

Sebilangan pemerhati politik berpendapat Amanah gagal meraih sokongan pengundi Melayu-Islam disebabkan oleh pelbagai faktor, baik luaran mahupun dalaman.

Antara isu utama adalah tiadanya hala tuju jelas, meski pun Amanah sudah dipimpin oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai presiden selama dua penggal.

Objektif Amanah mahu menjadi parti progresif yang lebih inklusif dan bersayap tengah serta memberi perhatian kepada pelbagai isu tanpa menumpukan semata-mata pada isu Melayu-Islam, hakikatnya tidak sesuai pada saat mereka akhirnya diagihkan bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu-Islam.

Bolehkah Amanah menang dalam keadaan seperti ini? Sudah tentu tidak. Ibaratnya, jika seseorang berlatih bermain bola sepak setiap hari tetapi bertanding dalam acara badminton, bagaimana mereka boleh menang?

Salah satu faktor utama mengapa Amanah sukar menang apabila bertanding solo adalah disebabkan psikografi pengundi Melayu-Islam.

Kelompok ini masih cenderung kepada pemikiran konservatif dan sangat sensitif terhadap isu berkaitan kesucian agama Islam dan hak istimewa orang Melayu.

Dalam pandangan banyak pengundi Melayu-Islam, Amanah dianggap terkeluar daripada senarai parti pilihan.

Ini kerana mereka dianggap tidak cukup ‘Melayu-Islam’, lebih-lebih lagi terbelenggu persepsi negatif hubungan semasa dengan DAP.

Untuk melangkah jauh dalam landskap politik Malaysia, Amanah perlu segera membetulkan falsafah dan kompas politik mereka.

Tiada salahnya untuk menumpukan perhatian kepada isu-isu negara yang lebih luas, namun isu Melayu-Islam juga harus dijuarai. Ini adalah segmen yang menentukan kejayaan atau kegagalan Amanah dalam PRU16.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!