Pemulihan bakau tingkat populasi ikan tempatan

KLANG - Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Axiata meneruskan usaha melestarikan alam sekitar menerusi program penanaman pokok bakau.
Pada program yang bertemakan Ekosistem Bakau Warisan Masa Hadapan, warga IPSAS, UPM dan Yayasan Axiata serta belia setempat memilih Pulau Ketam di sini sebagai lokasi penanaman 2,000 anak pokok bakau.

Pengarah program, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, usaha ini bertujuan menekankan kepentingan ekosistem bakau dan pemeliharaannya terhadap dalam memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara bagi generasi akan datang.
Menurutnya, hutan bakau adalah salah satu komponen ekosistem yang paling kritikal, namun sering kali diabaikan.

Jelasnya, kajian dilakukan di negara ini menunjukkan bahawa pemulihan kawasan bakau bukan sahaja membantu dalam perlindungan pantai tetapi juga menyokong pelbagai aktiviti ekonomi, termasuk perikanan dan pelancongan berasaskan alam.
"Sebagai contoh, penyelidikan Universiti Putra Malaysia pada tahun 2021 yang diketuai oleh Prof Dr Ahmad Zaki melalui kajian bertajuk 'Pemuliharaan Hutan Bakau dan Kesan Ekologinya di Malaysia'.
"Kajian ini diterbitkan dalam Jurnal Ekosistem Tropika, mendapati bahawa kawasan bakau yang dipulihkan dapat meningkatkan populasi ikan tempatan sehingga 25 peratus dalam tempoh lima tahun.
"Data seperti ini mengukuhkan lagi justifikasi untuk melaksanakan usaha pemuliharaan seperti yang kita laksanakan pada hari ini," ujarnya pada program berlangsung di Pulau Ketam di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof Ir Dr. Hang Tuah Baharudin.
Selain aktiviti penanaman pokok bakau, program kali ini turut melibatkan pelbagai aktiviti termasuk bengkel dan program pendidikan dengan melibatkan 50 belia setempat sebagai agen perubahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!