Empat sekeluarga keracunan selepas makan ikan buntal

KOTA KINABALU - Empat sekeluarga mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal yang dimasak sendiri dalam kejadian di Kota Marudu pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga terbabit mengalami gejala pening, cirit birit, kebas pada tangan dan kaki selain sukar untuk bernafas selepas memakan ikan tersebut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Maria Suleiman berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung mesej tular di media sosial pada 10 dan 24 Januari lalu mengenai kejadian keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal yang berlaku di negeri ini.
"JKNS mengesahkan sebanyak lima kes kejadian keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal membabitkan satu kes di Kota Kinabalu pada 10 Januari dan empat kes sekeluarga di Kota Marudu pada 24 Januari.
"Semua kes yang berusia antara 15 hingga 48 tahun dilaporkan mengalami gejala selepas memakan ikan buntal yang dibeli daripada pasar setempat dan dimasak sendiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, kesemua kes telah mendapatkan rawatan awal di hospital dan tiga daripada lima kes yang dilaporkan telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.
"Dua kes masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Tindakan kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh JKNS, termasuk pendidikan kesihatan kepada individu terlibat dan komuniti setempat.
"Ikan buntal merupakan spesies ikan yang mengandungi toksin saraf (neurotoksin) yang dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX). Selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas dan siput laut serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun," katanya.
Tambahnya, pencemaran TTX dalam makanan tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana tiada perubahan warna, bau dan bentuk terhadap makanan yang tercemar
"Individu yang memakan makanan mengandungi TTX boleh mengalami gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit. Tanda-tanda keracunan termasuk kebas pada bibir, lidah dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit atau muntah serta mengalami kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan.
"Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam," katanya.
Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai agar mengelakkan mengambil makanan yang disyaki mengandungi TTX kerana ia boleh membahayakan kesihatan.
"Jika mengalami gejala awal keracunan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!