Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Keselamatan pengunjung, peserta keutamaan polis

KUALA LUMPUR - Himpunan Rakyat Benci Rasuah berjalan dalam suasana tenang serta terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, himpunan berkenaan bermula di pekarangan pusat beli-belah Sogo sekitar jam 2 petang dan bergerak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.
"Tujuan utama kita bukan sekadar mengawasi peserta himpunan, namun apa yang lebih penting adalah menjaga keselamatan orang ramai di sekitar Jalan TAR dan pengunjung Dataran Merdeka.
"Himpunan ini berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal selepas kita menugaskan pegawai dan anggota bagi mengawasi sebarang kejadian yang melanggar peruntukan undang-undang ditetapkan," katanya pada Sabtu.
Terdahulu, Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan di ibu kota ini dihadiri puluhan peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan mahasiswa.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati himpunan ini gagal mendapat sambutan menggalakkan orang ramai.
Himpunan ini diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menentang rasuah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana himpunan dalam keadaan terkawal dan diawasi oleh anggota polis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima permohonan semula penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah daripada pihak penganjur yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
Rusdi berkata, pihak penganjur masih gagal mengemukakan permohonan semula notis tersebut selepas ia dikembalikan pihak polis ekoran terdapat maklumat tidak lengkap.
Beliau berkata, pihak penganjur juga perlu melengkapkan permohonan mengikut masa ditetapkan berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, semakan polis mendapati mereka (pihak penganjur) tidak mendapat kelulusan daripada pemilik premis lokasi perhimpunan itu akan diadakan dan pihak polis akan bersiap siaga dengan lebih 400 anggota serta pegawai akan ditugaskan pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!