Himpunan Rakyat Benci Rasuah mahu politik Malaysia bersih

Zaim (dua, kanan) pada sidang akhbar Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Zaim (dua, kanan) pada sidang akhbar Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah menuntut kerajaan melaksanakan tiga perkara bagi memastikan politik Malaysia bersih dan bebas daripada rasuah.

Setiausaha Sekretariat, Zaim Zulkifli berkata, tiga tuntutan itu melibatkan pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.

Menurutnya, kerajaan pada masa kini didakwa tidak komited terhadap isu berkaitan rasuah seperti dilaungkan sewaktu menjadi pembangkang dulu.

"Dahulunya mereka antara pihak yang tegas bersuara berkaitan isu rasuah namun apabila mereka menjadi kerajaan sekarang, isu rasuah itu dipandang ringan.

"Keadaan juga meragukan apabila kerajaan nampak seperti tidak komited terhadap institusi kehakiman apabila AGC, SPRM dan sebagainya mula dipersoalkan oleh rakyat.

"Kita nampak satu trend apabila satu parti itu menjadi kerajaan, ia akan mengenakan parti lawan atau pembangkang dan situasi ini merisaukan kita," katanya pada sidang akhbar Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu.

Puluhan peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan mahasiswa dilihat mula bergerak dari pusat beli belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka bermula jam 2.30 petang.

Justeru, Zaim mendesak tiga tuntutan tersebut dilaksanakan pada pemerintahan kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain tuntutan disuarakan di jalanan, satu memorandum akan dipanjangkan ke peringkat tertinggi termasuk ke istana pada masa terdekat.

Tegasnya, himpunan tersebut tidak ditaja mana-mana parti politik seperti didakwa segelintir pihak.

"Kami ada beberapa dalam kalangan sekretariat yang setiap seorang memberikan sumbangan RM50.

"Wang itu kita kumpulkan untuk kegunaan hari ini, jadi memang tiada langsung parti politik beri dana sebab kita sendiri kata tidak boleh mana-mana parti politik biayai waktu himpunan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!