MBK ambil tindakan papan tanda tanpa kelulusan

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sudah mengenal pasti banyak papan tanda yang didirikan tanpa kelulusan pihaknya.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar raya tetapi juga memberi risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.
Jelasnya, sebagai langkah menangani isu ini, MBK akan melaksanakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MBK) 2022.
"Pemilik tanah, pengiklan dan pengusaha diarahkan untuk menurunkan papan tanda tanpa kelulusan.
"Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, Majlis akan mengalihkan papan tanda tanpa sebarang notis lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, tindakan mahkamah juga akan diambil terhadap pihak yang mendirikan papan tanda tanpa lesen.
"Segala kos pengalihan akan ditanggung oleh pemilik papan tanda tersebut.
"Pihak Majlis berharap semua pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama demi memastikan keselamatan dan keindahan bandaraya Kuantan terus terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

