MBPJ sertai GNAFCC ke arah tranformasi bandar mesra usia emas

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memacu transformasi bandar mesra usia dengan menyertai Rangkaian Global untuk Bandar dan Komuniti Mesra Usia (GNAFCC).
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, GNAFCC ditubuhkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2010 untuk menyatukan bandar, komuniti dan organisasi dari seluruh dunia ke arah menjadikan komuniti mereka tempat yang ideal untuk penuaan.
Menurutnya, sehingga kini, rangkaian GNAFCC mempunyai lebih 1,300 ahli dari 51 negara.
"Selangor kini berada dalam fasa peralihan demografi dengan populasi yang semakin menua dan diunjurkan mencapai status negeri 'Super-Aged' menjelang tahun 2040.
"Penyertaan WHO GNAFCC ini mengukuhkan Petaling Jaya sebagai salah sebuah bandar raya yang proaktif dalam merancang strategi dan tindakan bagi manfaat komuniti warga emas," katanya.
Satu sesi penyerahan Sijil WHO GNAFCC telah diadakan bertempat di bilik gerakan, Ibu Pejabat MBPJ pada Jumaat.
Mohamad Zahri berkata, MBPJ akan melaksanakan satu kajian penilaian asas berkaitan warga emas di Petaling Jaya.
"Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran komprehensif mengenai demografi dan kadar pertumbuhan warga emas selain meneliti aspek sosioekonomi, kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Kajian ini juga akan menilai tahap akses sedia ada terhadap perumahan, perkhidmatan kesihatan, kemudahan awam serta program-program sokongan lain yang sememangnya diperlukan oleh golongan rentan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!