Dron PGA 'tumpaskan' aktiviti seludup rokok RM1.7 juta

KOTA BHARU - Dron Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan di pangkalan haram di Sungai Golok, Malaysia-Thailand pada Khamis.
Serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu berjaya merampas rokok seludup bernilai RM1.7 juta di tiga lokasi berlainan di sini.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 61 tahun bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama di Kampung Jaya Setia Padang, di sini menemukan 13 karton rokok seludup di atas lantai ruang tamu rumah suspek bernilai anggaran RM4,862.
"Hasil soal siasat dan maklumat daripada serbuan pertama, serbuan kedua telah dilakukan menggunakan dron di pangkalan haram Pulau Tengkorak, Tumpat.
"Pemantauan dron di kawasan terbabit selama satu jam telah mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari dalam sebuah bot ke tebing sungai. Menyedari kehadiran polis, mereka telah bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki bot," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemukan 57 kotak mengandungi rokok bernilai RM1.06 juta dipercayai diseludup dari negara jiran.
Ujarnya, PGA turut melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kilang kayu lama yang tidak beroperasi di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah.
Tambahnya, semasa serbuan itu kesemua suspek telah melarikan diri ke kawasan hutan di belakang kilang kayu tersebut sejurus menyedari kehadiran anggota PGA.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 29 kotak serta enam plastik lut sinar mengandungi rokok seludup dianggarkan bernilai RM654,500 di bawas kanvas.
"Kes ini disiasat bawah Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!