'Kerajaan guna situasi menang-menang'

Penganalisis percaya orang ramai pasti membuat perbandingan dengan inisiatif tol percuma terdahulu yang kali terakhir diberikan sempena perayaan Krismas lepas.
Penganalisis percaya orang ramai pasti membuat perbandingan dengan inisiatif tol percuma terdahulu yang kali terakhir diberikan sempena perayaan Krismas lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus berbanding hari biasa sempena cuti Tahun Baharu Cina merupakan situasi menang-menang.

Penganalisis ekonomi dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan berkata, langkah sedemikian menunjukkan kerajaan cuba menyeimbangkan antara kepentingan meringankan beban rakyat dan kemampuan kewangan negara.

Menurut beliau, walaupun tidak percuma sepenuhnya seperti kebiasaan di hari perayaan, namun ia masih dapat membantu mengurangkan kos untuk pulang ke kampung halaman.

“Ini dapat memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada pengguna jalan raya kerana biasanya perbelanjaan lebih tinggi ketika musim cuti,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk memberikan diskaun sebanyak 50 peratus kepada pengguna lebuh raya sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Dalam pada itu, Mohamad Khair Afham berkata, keputusan untuk memberikan diskaun itu juga mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih berhati-hati terhadap pengurusan kewangan negara.

“Dengan peralihan daripada tol percuma kepada diskaun 50 peratus, kerajaan masih mampu memberikan manfaat buat rakyat, tetapi dalam bentuk yang mampan untuk jangka panjang,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau percaya keputusan itu akan menyebabkan orang ramai membuat perbandingan dengan inisiatif terdahulu yang kali terakhir diberikan sempena perayaan Krismas lepas.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, rakyat perlu memahami keadaan ekonomi negara yang mencabar ketika ini terutama dalam konteks pemulihan pasca pandemik dan usaha kerajaan menguruskan subsidi serta hutang.

“Tetapi, insentif ini mampu menggalakkan lebih ramai orang membuat perjalanan, seterusnya merancakkan sektor pelancongan domestik dan perbelanjaan di kawasan luar bandar.

“Secara keseluruhannya, langkah ini boleh dianggap strategi yang pragmatik demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Walaupun tol percuma lebih popular, pendekatan diskaun menunjukkan keperluan untuk imbangan yang lebih lestari dalam pengurusan kewangan negara,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!