Dicekup tak sampai 6 jam pecah rumah

JOHOR BAHRU - Dua lelaki ditahan tidak sampai enam jam selepas melakukan pecah rumah di Taman Skudai Baru di sini, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian tersebut hasil laporan mangsa pada jam 10.30 pagi daripada seorang lelaki berusia 28 tahun.
"Siasatan mendapati, kejadian berlaku pada jam 5.45 awal pagi, mangsa yang bekerja di Singapura tidak bekerja pada hari itu dan ada di rumah namun tidak menyedari rumahnya dipecah masuk.
"Selepas menyedari rumahnya dipecah masuk dan mangsa mendapati sebuah komputer riba, telefon bimbit, seutas gelang emas dan dua topi keledar hilang.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 10.33 pagi hari kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini, pada Jumaat.
Tambah Balveer Singh, siasatan pihak polis di rumah mangsa mendapati pintu jeriji telah dirosakkan serta pintu hadapan rumah terbuka.
Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan kejadian berlaku pada jam 5.45 pagi dan memaparkan seorang lelaki berpakaian baju warna oren, bertopeng dan bersarung tangan menceroboh serta menggeledah rumah mangsa.
"Katanya, hasil risikan, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 22 dan 27 tahun di kawasan Larkin di sini pada pukul 11.30 pagi hari kejadian.
"Dalam serbuan itu pihaknya merampas antaranya komputer riba, kereta milik suspek, beg silang, jam tangan, sepasang subang dan seutas gelang tangan kayu.
"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek berusia 22 dan 27 tahun, polis berjaya menyelesaikan kes pecah rumah tersebut selepas enam jam berlaku," katanya.
Modus operandi mereka adalah dengan merosakkan kunci dan pagar utama rumah dengan menggunakan spanar yang diambil dalam kawasan halaman rumah tersebut.
"Mereka menyasarkan rumah yang tidak berkunci, rumah yang ditinggalkan dan juga dipercayai mereka yang bekerja di Singapura," ujarnya.
Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan suspek berusia 22 tahun mempunyai 20 rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah.
Siasatan katanya, masih dilakukan sekiranya ada suspek lain yang terlibat.
Dengan penangkapan kedua-dua suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan sejak awal bulan ini di kawasan Johor Bahru Utara.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!