Tak sampai 24 jam curi, lelaki dicekup polis

SEREMBAN - Seorang lelaki ditahan polis kurang 24 jam selepas memecah masuk tiga rumah di Taman Desa Ros di Senawang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita jam 10 pagi memaklumkan yang rumahnya dipecah masuk pada Rabu.
"Wanita itu memberitahu rumahnya dimasuki pencuri ketika sedang tidur dan dia langsung tidak mendengar bunyi bising.
"Suspek turut mengeledah di bilik tidur utama dan bilik tidur anaknya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kira-kira jam 7.45 petang hari sama, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Rahang berjaya menangkap suspek lelaki berusia 37 tahun di sekitar daerah ini yang terlibat dalam kes itu.
Tambahnya, polis turut merampas barang kes seperti beg tangan berjenama, wang tunai mata wang asing, jam tangan, telefon bimbit, minyak wangi, beberapa utas cincin dan gold bar.
"Ekoran tangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah di sekitar daerah ini.
"Polis sekali gus berjaya menyelesaikan kes kecurian dalam tempoh 24 jam dari kejadian dilaporkan melibatkan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM10,000," katanya.
Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dan sembilan rekod jenayah narkotik serta satu rekod masih dikhendaki.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek kini direman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Seremban 06-6033222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!