Dua lelaki ditahan pecah rumah libat kerugian RM1.1 juta

Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah yang melibatkan kerugian mencecah RM1.1 juta dalam kejadian di Kampung Paya Rambai, Kota Bharu pada 15 Januari lalu. Gambar kecil: Mohd Rosdi
Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah yang melibatkan kerugian mencecah RM1.1 juta dalam kejadian di Kampung Paya Rambai, Kota Bharu pada 15 Januari lalu. Gambar kecil: Mohd Rosdi
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah yang melibatkan kerugian mencecah RM1.1 juta dalam kejadian di Kampung Paya Rambai di sini pada 15 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian jam 8.30 pagi itu berlaku semasa penghuni rumah berada di Sarawak.

"Pengadu merupakan seorang pesara kerajaan dan berusia lingkungan 60-an, di mana semasa kejadian wanita terbabit bersama ahli keluarganya tiada di rumah.

"Setelah pulang, pengadu mendapati pintu rumahnya dalam keadaan telah diumpil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, wanita terbabit kemudiannya masuk ke dalam rumah dan mendapati sebuah peti besi miliknya yang mengandungi sejumlah wang tunai mata wang asing, emas dan silver serta beberapa bentuk jam tangan berjenama telah hilang.

Ujarnya, nilai kerugian yang dialami dianggarkan lebih kurang RM1.1 juta.

Mohd Rosdi memberitahu, bertindak di atas maklumat risikan pada 19 Januari lalu lebih kurang jam 6.15 petang sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu berjaya menangkap dua lelaki berumur lewat 20-an dalam serbuan berasingan di sini.

"Salah seorang suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal manakala seorang lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas semasa serbuan adalah sebuah peti besi dan beberapa barangan berharga milik pengadu," katanya.

Menurut beliau, hasil semakan pihak polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

Ujarnya, ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek juga didapati kedua-duanya positif dadah.

Mohd Rosdi memberitahu, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat belas tahun.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 20 sehingga 25 Januari bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan siasatan kes masih diteruskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!