Dua lelaki ditahan bakar mercun di tengah jalan

Tangkap layar rakaman papan pemuka kereta pengadu yang memaparkan tindakan dua lelaki membakar mercun di tengah jalan raya di Jalan Shahbudin 29, Taman Sentosa, Klang, Selangor pada Jumaat.
Tangkap layar rakaman papan pemuka kereta pengadu yang memaparkan tindakan dua lelaki membakar mercun di tengah jalan raya di Jalan Shahbudin 29, Taman Sentosa, Klang, Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Gara-gara membakar mercun di tengah jalan raya dan meletakkan bahan letupan itu pada kenderaan orang awam, dua lelaki warga tempatan ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang wanita tempatan berusia 26 tahun pada jam 8.06 malam Jumaat.

Menurutnya, pengadu menyatakan dua lelaki membakar mercun di sebelah kanan kenderaannya sehingga menyebabkan kerosakan dalam kejadian yang berlaku jam 2 petang di Jalan Shahbudin 29, Taman Sentosa, di sini.

"Hasil siasatan mendapati semasa pengadu melalui jalan tersebut, dua suspek lelaki berdiri di tengah jalan raya untuk membakar mercun.

"Semasa kereta pengadu mendekati dua lelaki terbabit seorang daripadanya telah meletakkan mercun di atas bonet keretanya.

"Apabila memarahi perbuatan itu, seorang suspek telah mengambil semula mercun dan meletakkannya di tepi kereta pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, letupan mercun tersebut telah mengakibatkan sedikit kerosakan pada bahagian 'bumper' hadapan dan sisi kereta.

Tambahnya, perbuatan suspek terbabit telah dirakam melalui rakaman papan pemuka kereta pengadu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Hoong Fong berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana bermain mercun di tempat awam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun itu pada jam 11.30 malam hari yang sama manakala kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya, permohonan reman ke atas dua suspek selama tiga hari sehingga Isnin telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Klang.

"Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian ini untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!