Pengurus tugasan hotel dipenjara 12 bulan, sebat pecah amanah

Seorang pengurus tugasan sebuah hotel dipenjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan bayaran bilik hotel lebih RM30,000 tahun lepas. - Gambar hiasan
Seorang pengurus tugasan sebuah hotel dipenjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan bayaran bilik hotel lebih RM30,000 tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus tugasan sebuah hotel dipenjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan bayaran bilik hotel berkenaan lebih RM30,000, tahun lepas.

Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhi hukuman itu ke atas S Sanjiv Kumar, 36, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 20 Januari lepas.

Sanjiv Kumar didakwa sebagai pengurus tugasan hotel diamanahkan untuk menjaga kaunter hotel bagi menguruskan pelanggan mendaftar masuk dan bayaran bilik hotel melakukan pecah amanah dengan mengambil bayaran sewa bilik hotel daripada pelanggan berjumlah RM31,791.73 untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini antara 31 Januari dan 14 Februari tahun lepas, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pengadu merupakan pengurus bilik di hotel itu membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati tertuduh telah mengambil wang tunai yang dibayar oleh 17 orang pelanggan berjumlah RM31,791.73.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Sanjiv Kumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah atas alasan dia menanggung keluarga dan menyesal dengan perbuatannya.

"Saya terdesak kerana perlu menanggung keluarga dan terpaksa meninggalkan kerja di luar negara untuk menjaga keluarga saya di sini. Saya memohon supaya diberikan hukuman paling minimum,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!