Pengarah dituduh pecah amanah wang syarikat lebih RM500,000

Datuk Lee Hyen Sip@Simon, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping atas lima pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM551,130 sejak tahun 2020.
Datuk Lee Hyen Sip@Simon, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping atas lima pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM551,130 sejak tahun 2020.
A
A
A

TAIPING - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM551,130 sejak tahun 2020.

Datuk Lee Hyen Sip@Simon, 52, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut sebagai ejen iaitu pengarah syarikat yang diamanahkan dengan penguasaan harta dengan curangnya melakukan pecah amanah wang syarikat itu melalui cek syarikat dengan memasukkannya ke dalam akaun bank milik sendiri serta pihak lain.

Wang menerusi cek itu dimasukkan ke akaun milik sendiri membabitkan nilai RM168,420 dan RM49,240, selain kepada dua akaun bank milik syarikat berbeza dan satu individu lain masing-masing RM168,220, RM72,180 dan RM93,070.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara November 2020 hingga September 2024 di sebuah bank cawangan di Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama.

Bagi semua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi kelima-lima pertuduhan, Hyep Sip turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta melalui cek syarikat kepada pihak, individu, lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Rodzim Zaimy Abdul Hamid dan Jeyakumar Palakrishnar.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 17 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan seorang lelaki bergelar Datuk ditahan polis bagi membantu siasatan kes tuduhan pecah amanah sebuah syarikat pinjaman wang berlesen.

Difahamkan, pengarah syarikat berkenaan turut memegang pelbagai jawatan dalam komuniti, termasuk di sekolah dan rumah ibadat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!