MATTA harap kerajaan segera semak Akta Industri Pelancongan

IPOH - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengharapkan kerajaan menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992 bagi memastikan industri pelancongan negara lebih ke hadapan.
Presidennya, Nigel Wong berkata, akta tersebut mesti dimodenkan mengikut keperluan semasa agar penguatkuasaan terhadap peraturan-peraturan berkaitan industri pelancongan dapat ditingkatkan.
Justeru beliau menjelaskan, pihaknya sedang menyiapkan kertas putih berkaitan perkara tersebut untuk diserahkan kepada Kementerian Pelancongan agar akta lapuk digunakan sejak 20 tahun lalu dikaji semula.
"Kami merupakan ekosistem pelancongan. Jika kita tidak bersama-sama sebagai ekosistem, kita tidak akan kompetitif. Sektor awam dan sektor swasta mesti bekerjasama rapat. Kerajaan mesti memahami pengalaman ini datang dari pemain industri. Jadi undang-undang tidak boleh dibuat jika kita tidak memahami perniagaan.
"Kita perlu lebih tegas berkaitan undang-undang ini. Jika Malaysia mahu menjadi kompetitif, akta berkaitan pelancongan mesti dimodenkan dan penguatkuasaan perlu lebih tegas jika tidak, kita akan kehilangan daya tarikan kerana orang akan melihat Malaysia tidak selamat," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina MATTA Cawangan Perak di Hard Rock Cafe di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Pengerusi MATTA Cawangan Perak, Wendy Shin.
Nigel berkata, selain itu juga pemain industri perlu melakukan transformasi terhadap gerak kerja mereka bagi menarik lebih ramai khalayak.
Jelasnya, industri pelancongan perlu melalui perubahan mengikut keperluan serta perkembangan semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun ini MATTA akan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk memastikan kemampanan ahli-ahli mereka yang kini menjadi trend.
Katanya, kebebasan diberikan kepada cawangan di negeri-negeri untuk melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan objektif pelancongan di negeri masing-masing.
Nigel berkata, pihaknya juga akan memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kapasiti membangunkan industri pelancongan sebagai satu industri yang dapat menarik minat orang ramai bekerja dalam sektor ini.
"Sekarang kebanyakan pekerja dalam sektor pelancongan tidak menganggap industri ini sebagai satu industri profesional atau yang ada satu laluan kerjaya yang panjang.
"Jadi kita nak ubah pandangan masyarakat terhadap kerjaya dalam bidang pelancongan dengan membangunkan industri pelancongan melalui pendidikan dan upskilling," katanya.
Sementara itu, Wendy dalam ucapannya berkata, semua ahli MATTA perlu terus mengukuhkan hubungan sedia ada dengan saling membantu antara satu sama lain, berkongsi pengalaman serta pengetahuan dan bekerjasama untuk membawa Perak ke tahap baharu.
Katanya, MATTA akan terus memainkan peranan untuk membantu ahli-ahlinya sama ada melalui inisiatif pemasaran baharu, meluaskan lagi jaringan mahupun menyediakan pembangunan profesional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

