Ipoh Sentral dijangka jana lebih RM6 bilion GDV

IPOH - Projek Ipoh Sentral yang dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.26 bilion akan dimulakan tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan merupakan contoh pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang mengintegrasikan pengangkutan awam dengan pembangunan bercampur seperti perumahan, perniagaan dan rekreasi.
Menurutnya, pembangunan projek di kawasan seluas kira-kira 27 hektar itu dijangka membawa manfaat besar kepada ekonomi tempatan dan nasional.
"Konsep ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian tetapi juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sejajar dengan agenda perubahan iklim negara.
"Pembangunan ini akan menjadi hab pengangkutan moden yang menghubungkan pelbagai mod pengangkutan seperti kereta api dan bas. Projek ini juga berpotensi mengubah landskap bandar Ipoh, menjadikannya lebih efisien, mesra rakyat dan mampan," katanya ketika berucap selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembangunan Ipoh Sentral di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan; Pengerusi MRCB Land, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi, Datuk Azhar Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim.
Anthony Loke berkata, dengan GDV sebanyak RM6.26 bilion itu, Ipoh Sentral dijangka membawa manfaat besar kepada ekonomi tempatan dan nasional.
Menurutnya, projek tersebut direalisasikan melalui kerjasama antara RAC, kerajaan negeri Perak dan MRCB menerusi model kerjasama awam-swasta.
Katanya, MRCB melalui anak syarikat milik penuhnya Country Annexe Sdn Bhd memainkan peranan penting sebagai pemaju utama projek ini.
"Dengan pengalaman luas mereka dalam pembangunan hab transit bersepadu seperti KL Sentral dan Penang Sentral, adalah harapan saya Ipoh Sentral akan mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi.
"Peranan mereka bukan hanya dalam aspek pembangunan fizikal tetapi juga dalam memastikan pematuhan terhadap prinsip pembangunan lestari dan inovasi," katanya.
Sementara itu ketika sidang media selepas majlis, Anthony Loke berkata, fasa pertama akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
"Dalam enam bulan pertama, fokus akan diberikan berkaitan landskap dan laluan pejalan kaki.
"Selain itu pembangunan projek Ipoh Sentral berkenaan juga akan mengekalkan serta memulihara bangunan warisan sedia ada," katanya.
Sementara itu, Saarani memberi komitmen bahawa kerajaan negeri akan memastikan projek berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama-sama jabatan berkaitan akan membantu sebaik mungkin bagi merealisasikan projek yang sekian lama mahu dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


