Mayat pemandu treler tertimbus 30 jam bawah timbunan tiang simen

RANAU - Mayat seorang pemandu treler hanya dapat dikeluarkan selepas kira-kira 30 jam tertimbus di bawah timbunan tiang simen selepas lori dipandu terjunam ke dalam gaung di Jalan Kampung Nabutan di sini.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun berjaya dikeluarkan dari timbunan tiang simen pada jam 2.50 pagi Jumaat selepas tiga kali percubaan menggunakan alat kren dan kerja mengalihkan konkrit tersebut dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 pagi Khamis.

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 30 kilometer dari BBP Ranau.
"Kemalangan dipercayai berlaku lebih awal iaitu pada malam Rabu tetapi pihak bomba hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pagi Khamis.
"Penduduk kampung mendakwa ada terdengar bunyi dentuman kuat sekitar jam 10 malam namun laporan dibuat pada keesokan harinya sebelum sepasukan anggota bomba dikejar ke lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Ridwan berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian terdapat sebuah treler membawa muatan tiang jenis konkrit yang terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter.
"Terdapat seorang mangsa tertimbus di bawah lori dan pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas tetapi gagal.

"Usaha mengeluarkan mangsa kemudian diubah dengan menggunakan kren yang dibawakan dari Kota Kinabalu. Kren tersebut hanya tiba di lokasi sekitar jam 6 petang Khamis dan kerja mengangkat treler segera dilakukan namun tidak berjaya dengan tiga kali percubaan.
"Pada jam 7.50 malam, teknik diubah dengan mengalihkan kira-kira 70 batang tiang simen tersebut sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi tadi dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas," katanya.
Tambah Ridwan lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi kemudian ditamatkan pada 3.10 pagi selepas memastikan keadaan di lokasi selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!