Imbuhan serikan kejayaan atlet negara

ARENA sukan membuka tirai musim 2025 dengan momentum positif apabila atlet negara mula memahat nama Malaysia di peta dunia.
Memulakan langkah kanan ialah atlet boling, Natasha Mohamed Roslan yang menjuarai kejohanan Piala Dunia di Hong Kong. Gelaran itu juga menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa gelaran individu wanita sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada tahun 1972.
Mengikut jejak langkah sama, Muhd Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol yang mengungguli berpasukan lelaki selepas mengalahkan Puerto Rico 3-2 di pentas akhir.
Turut mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa ialah beregu lelaki profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang meraih gelaran pertama musim ini apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka India.
Melihat kepada kejayaan-kejayaan tersebut, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraih tanpa disusuli dengan kepayahan, keperitan dan pengorbanan.
Hasilnya bukan boleh dilihat dalam satu hari, tetapi bermula dengan usaha gigih tanpa mengenal putus asa, matlamat jelas dan proses latihan sistematik selain pertandingan yang kompetitif.
Berbaloi dengan kepayahannya, Nur Izzuddin-Sze Fei yang mesra disapa ‘Din-Fei’ boleh mengukir senyum apabila membawa pulang hadiah wang tunai AS$70,300 (RM316,000).
Bagaimana pula dengan kem boling yang merangkul dua gelaran di Hong Kong pula? Ia menjadi bualan dalam kalangan media dan warganet apabila dikhabarkan tiada imbuhan daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) buat mereka.
Ini kerana kejohanan tersebut tidak berada dalam senarai SHAKAM yang dihantar kepada Majlis Sukan Negara (MSN).
Agensi sukan negara itu hanya membenarkan dua kejohanan disenaraikan dengan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memilih Kejuaraan Dunia dan Kejohanan Asia.
Bagaimanapun, atas inisiatif Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Hannah Yeoh pada Khamis memberikan insentif khas buat mereka. Durian runtuh RM90,000 dengan Natasha menerima imbuhan tertinggi sebanyak RM25,000.
Ini setelah Natasha bersama tiga lagi pemain Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim muncul naib juara kategori berpasukan wanita untuk meraih insentif RM20,000.
Skuad lelaki pula menerima insentif sebanyak RM40,000.
Malah Rafiq yang turut cemerlang bergelar naib juara acara individu lelaki meraih habuan RM10,000.
Bagaimanapun, di sebalik durian runtuh daripada kerajaan, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) juga perlu keluar daripada kepompong mewujudkan dimensi baharu dalam membina kerjasama dengan sektor swasta.
Ini bagi membentuk kolaborasi strategik meliputi aspek penajaan, malah lebih besar terlibat dalam entiti perniagaan yang mampu memberi impak positif buat persatuan serta para atlet untuk jangka masa panjang.
Ahli perniagaan dan usahawan perlu diberi tempat dalam barisan kepimpinan persatuan atau melantik mereka menjadi penasihat korporat. Industri sukan mempunyai pasaran yang luas di persada antarabangsa menerusi transaksi kewangan mencecah ratusan bilion ringgit.
Kesempatan tersebut tidak boleh dipandang sebelah mata sebaliknya perlu direbut dengan efektif oleh PSK kerana ia mampu memberi pulangan sangat berbaloi buat warga sukan dan negara.
Melalui integrasi pelbagai pihak berkepentingan dan pemegang taruh, nasib atlet lebih terbela menerusi situasi menang-menang.
Ahli sukan ‘menjual’ bakat, PSK menjadi payung melindungi atlet, sektor korporat meraih laba kewangan seantero dunia dan nama negara harum di pentas antarabangsa.
*Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
