Isu vape: Tukar penempatan pegawai setiap dua tahun sekali

SHAH ALAM - Penempatan pegawai penguat kuasa di pintu masuk negara seperti pelabuhan dan lapangan terbang tidak boleh terlalu lama serta wajar mempunyai had masa tertentu.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Azrul Azlan Abdul Rahman berkata, tempoh perkhidmatan yang terlalu lama boleh menyebabkan pegawai mudah terdedah kepada risiko pengaruh luar antaranya godaan rasuah atau hubungan tidak formal dengan sindiket tempatan.
Beliau memberi contoh, tempoh dua atau tiga tahun sangat sesuai bagi setiap pegawai bertugas di lokasi tertentu dan pastikan mereka dipindahkan ke kawasan baharu selepas tempoh tersebut.
“Dengan cara itu, pegawai tidak akan mempunyai peluang cukup untuk membentuk hubungan rapat dengan pihak tertentu yang mungkin membawa kepada aktiviti penyelewengan.
“Pertukaran secara berkala juga memudahkan pemantauan terhadap pegawai kastam termasuk audit dalaman kerana persekitaran kerja mereka sering berubah. Selain itu, ia akan meningkatkan keberkesanan dan motivasi mereka,” jelasnya yang mengulas isu enam pegawai kastam ditahan SPRM kerana disyaki terbabit sindiket seludup vape.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!