Jangan jual saham kepada BlackRock - NGO

SEPANG - Memorandum bantah penjualan saham Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) kepada syarikat BlackRock akan diserahkan semula pada penghujung bulan ini.
Ia selepas penyerahan yang sepatutnya diberi di Ibu Pejabat MAHB di sini pada Khamis gagal diterima oleh pihak sepatutnya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya kecewa apabila pihak MAHB menghantar wakil pegawai keselamatan untuk menerima memorandum itu.
"Ini satu kebiadapan, apa salahnya kami berjumpa pegawai yang sepatutnya untuk menyerahkan secara baik.
"Sangat menyedihkan, kita datang dengan baik untuk serah, tapi memorandum ini tidak dapat diserahkan," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat MAHB di sini.

Tambah Syed Hassan, beliau menggesa pemegang saham individu atau syarikat kecil terus agar bertahan dan tidak menjual pegangan itu bagi mengagalkan BlackRock mengambil alih pengurusan lapangan terbang negara.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Aduan Terkesan Vaksin (PATV), Zaharah Sulaiman berkata, pihaknya menegaskan agar tiada sebarang penjualan saham dilakukan membabitkan MAHB.
Jelasnya, syarikat MAHB tidak alami kerugian kerana banyak mengelola lapangan terbang lain yang membawa keuntungan besar.
"Kenapa disasar hendak dijual? Tidak boleh. Jual pula pada Zionis anti Islam. Ini satu kesedaran kepada rakyat," ujarnya.
Sebelum itu, kira-kira 10 orang wakil daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hadir pada jam 2.30 petang untuk penyerahan memorandum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
