Majlis Daerah Bachok terima faedah lebih RM6 juta

BACHOK - Majlis Daerah Bachok menerima faedah lebih RM6 juta hasil pelaburan bagi projek bernilai hampir RM93 juta melalui pembinaan pembangunan di Bandar Baru Jelawat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, antara kemudahan yang dibangunkan ialah pembinaan satu unit bangunan pasar awam bertingkat, surau, hentian bas dan tandas awam.
Beliau berkata, Bandar Baru Jelawat yang beroperasi dua tahun lalu kini menjadi nadi baharu aktiviti ekonomi penduduk daerah Bachok.
"Daerah ini mengalami pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat selepas bandar ini dibangunkan," katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Bandar Baru Jelawat yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Khamis.
Hilmi memberitahu, bandar baru itu turut memberi manfaat kepada keluarga pesakit Hospital Bachok dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kerana hanya beberapa kilometer dengan premis terbabit.
Jelas beliau, Majlis Daerah Bachok akan memastikan pembangunan perbandaran baharu dilaksanakan melalui projek secara usahasama dengan swasta atau persendirian.
Pembangunan di kawasan Mukim Rusa itu dilaksanakan antara Majlis Daerah Bachok dengan sebuah syarikat membabitkan keluasan tanah 8.58 hektar dan perjanjian ditandatangani pada 28 April 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
