150 juta liter air terawat hilang di Perlis

CYBERJAYA - Sebanyak 150 juta liter air terawat di Perlis dikesan hilang setiap hari sekali gus menjadikan negeri itu tertinggi merekodkan 60 peratus air tidak terhasil (NRW).
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bekalan Air Negeri Perlis, Ir Syed Mohamed Adnan Mansor berkata, terdapat 90,000 akaun pengguna di bawah syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
"Dengan jumlah akaun tersebut, Perlis memerlukan 100 juta liter air terawat sehari tetapi penghasilannya adalah 250 juta liter sehari.
"Ia bermakna 150 juta liter hilang dalam tempoh sehari sama ada disebabkan paip bocor atau kecurian," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Khamis.
Terdahulu beliau yang juga anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memeterai pelan tindakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SAP, Ir Dr Mohmad Asari Daud di sini.
Turut menyaksikan, Pengerusi SPAN Charles Anthony Santiago dan Exco Insfrasruktur, Pengangkutan Dan Hubungan Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim.
Syed Mohamed Adnan berkata, pelan tindakan ditandatangani merangkumi beberapa aspek bagi membantu SAP dalam mencapai sasaran ditetapkan termasuklah mengurangkan kadar NRW secara holistik kepada kadar yang munasabah sejajar dengan peruntukan serta ketetapan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13.
"Selain itu ia juga bakal meningkatkan kompetensi modal insan ke tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang bersesuaian dengan keperluan industri air," katanya.
Jelas beliau, Jawatankuasa akan mengemukakan cadangan pindaan Pelan Perniagaan Tempoh Operasi ke-4 (OP4) dan persediaan perancangan bagi Pelan Perniagaan OP5 yang merangkumi projek-projek perbelanjaan infrastruktur (CAPEX).
"Jawatankuasa ini akan bermesyuarat setiap tiga bulan bagi memantau dan membantu SAP mencapai sasaran penunjuk prestasi utama yang telah ditetapkan pada Pelan Perniagaan OP4 bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember 2026," katanya.
Dalam pada itu, Mohmad Asari berkata, pihaknya telah mengenal pasti 18 paip utama yang perlu ditukar.
"Bagi tempoh sebulan ini pihak kami akan menyerahkan maklumat lanjut kepada Jawatankuasa untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Charles menjelaskan isu NRW tidak dihadapi oleh Perlis sahaja sebaliknya Kelantan, Pahang dan Terengganu turut merekodkan kadar yang tinggi.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang melaksanakan satu pelan besar-besaran untuk mengatasi masalah berkenaan.
"Itu satu kehilangan besar kepada operator.
"Di Kedah ada ada masalah yang sama lebih kurang 58 peratus NRW, seperti Kelantan, Terengganu serta Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

