Selangor gazet 18 lokasi di Sabak Bernam pusat agro pelancongan

Rizam (kanan) bersama-sama agensi terlibat melihat pelan pembangunan daerah Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar pada Khamis.
Rizam (kanan) bersama-sama agensi terlibat melihat pelan pembangunan daerah Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor telah mengenal pasti 18 lokasi di daerah Sabak Bernam untuk digazetkan sebagai pusat pembangunan dan agro pelancongan.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, antara lokasi itu adalah di Bagan Nakhoda Omar, Kampung Sungai Air Tawar, Pantai Bumi Hijau, Sungai Lang dan Pekan Sabak.

Menurut beliau, lokasi lain termasuk Sungai Panjang yang terkenal dengan Festival Ban Canal yang menjadi acara tahunan anjuran Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) bagi menambah daya tarikan pelancong ke daerah ini.

"Baru-baru ini, acara larian bendang turut diadakan sebagai salah satu inisiatif menarik pengunjung ke daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan dan tinjauan berkaitan projek pembangunan daerah Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, Sekinchan pula terus dikenali dengan pelbagai destinasi pelancongan menarik untuk dilawati.

Jelas beliau, usaha itu diharap dapat memperkukuhkan Sabak Bernam sebagai hub agro pelancongan, selain turut menawarkan produk lain antaranya penjualan ikan segar, sayur-sayuran, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta kraftangan.

Tambah beliau, projek pembangunan itu berkait rapat dengan Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang memainkan peranan penting dalam merancang dan melaksanakan pembangunan yang bersesuaian dengan kehendak kerajaan negeri.

"Walaupun tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi menyelesaikan keseluruhan perancangan pembangunan ini, namun matlamat utama adalah untuk melaksanakan pembangunan secara berterusan dari semasa ke semasa," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, kerajaan Selangor juga menggalakkan pelabur untuk mengambil bahagian dalam pembangunan daerah itu dengan memberi tumpuan kepada konsep tempatan berlandaskan potensi dan kekayaan sumber semula jadi daerah berkenaan.

"Langkah ini diambil untuk memastikan Sabak Bernam berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan yang mampan dan berdaya saing," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!