Diuji sakit skoliosis sejak remaja, tukang jahit tak patah semangat

KUALA PILAH - Biarpun diuji dengan penyakit skoliosis atau tulang belakang bengkok sejak berusia 15 tahun sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas, seorang tukang jahit di sini cekal meneruskan pekerjaan yang diminatinya itu.
Sabariah Daud, 40 bagaimana pun mengakui pada awalnya sedih selain bimbang akan masa depannya, namun reda berikutan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.
Tanpa berfikiran negatif, Sabariah kini lebih selesa bekerja dari rumah dengan mengambil tempahan pakaian lelaki dan wanita sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, rezekinya dalam bidang kemahiran itu tidak putus-putus bahkan bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik untuk dia meneruskan kelangsungan hidup bersama suami tersayang, Shahrizan Jamaluddin, 43.
"Mak selalu dorong untuk saya fokus dalam bidang jahitan sebab katanya, ia lebih mudah berbanding pekerjaan lain kerana keterbatasan pergerakan akibat skoliosis ini.
"Atas faktor itu saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang jahitan dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pakaian Wanita tahap 3 dan Pakaian Lelaki tahap 2 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2002," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Senaling.
Sabariah yang berasal dari Felda Lui Timur, Jempol berkata, pernah menjadi tenaga pengajar jahitan di Selayang, Kuala Lumpur dan Bangi, Selangor sebaik tamat pengajian.

Tambahnya, walaupun sudah memiliki sijil berkenaan dia tidak jemu mempelajari pelbagai teknik jahitan menerusi media sosial atau mana-mana pusat kemahiran jahitan agar kualiti jahitannya dapat dipertingkatkan daripada masa ke masa.
"Upah yang dikenakan juga bersesuaian dengan hasil jahitan iaitu antara RM25 hingga RM120 membabitkan pakaian kanak-kanak hingga dewasa," katanya.
Sementara itu, menceritakan mengenai penyakit berkenaan Sabariah berkata, menyedari tulang belakangnya bengkok sebaik pulang dari sekolah selepas mendapati lengan bajunya labuh sebelah.
"Saya maklum pada mak lalu membuat pemeriksaan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan disahkan skoliosis. Saya sepatutnya menjalani pembedahan pada 2018 namun tidak kesampaian susulan tulang sudah terlalu bengkok," katanya.
Katanya, berharap segala urusannya di masa hadapan sentiasa dipermudahkan ALLAH SWT dan sentiasa fokus menyelesaikan pekerjaannya tanpa sebarang masalah begitu juga dengan individu yang berdepan ujian sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
