'Terima kasih hero berbaju oren selamatkan Hayyan'

Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
A
A
A

KISAH seorang pengawal keselamatan menyelamatkan kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Hayyan yang tidak sedarkan diri di dalam kolam dewasa Kompleks Air Panas Gadek, Melaka pada 11 Januari lalu mendapat perhatian umum dan dianggap sebagai hero.

Menceritakan kembali situasi tersebut, Yusof Mohamad, 42, berkata, sewaktu kejadian dia berada di lokasi berkenaan untuk mandi dan terkejut apabila melihat kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri di dasar kolam.

“Saya segera membawa keluar kanak-kanak tersebut ke permukaan air dan melihatnya seakan tidak bernyawa manakala bibir serta kulitnya sudah kebiruan.

“Alhamdulilah seorang wanita segera datang dan melakukan pernafasan kecemasan (CPR), kanak-kanak itu akhirnya berjaya diselamatkan setelah mendapat rawatan di hospital berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Yusof Mohamad
Yusof Mohamad

Katanya, semua berlaku atas kehendak ALLAH dan sebagai umatnya berusaha melaksanakan tanggungjawab bagi menyelamatkan nyawa lain.

“Sejujurnya saya begitu lega selepas mengetahui kanak-kanak berkenaan selamat dan sehingga sekarang masih terkenangkan wajahnya sewaktu mengangkatnya dari air.

“Bagi saya, ia merupakan satu keajaiban daripada ALLAH kerana keadaannya ketika diselamatkan sangat lemah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Yusof mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak khususnya yang masih kecil.

Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Muhammad Hadi Hilman Nordin, 40, bersyukur kerana ada insan menyedari keberadaan dan menyelamatkan anaknya.

“Saya dan isteri sangat gembira kerana melalui kuasa tular, kami dapat berhubung dengan mereka yang telah menyelamatkan Muhammad Hayyan. Tanpa mereka, anak kami mungkin tidak dapat diselamatkan.

Muhammad Hadi (paling kanan) berpimpinan tangan bersama Muhammad Hayyan (tengah) dan isteri.
Muhammad Hadi (paling kanan) berpimpinan tangan bersama Muhammad Hayyan (tengah) dan isteri.

"Sekiranya berpeluang, kami benar-benar ingin bersemuka untuk mengucapkan ribuan terima kasih.

"Saya juga mahu memeluk 'hero berbaju oren' kerana beliau merupakan individu pertama yang menemui Muhammad Hayyan di dalam kolam,” ujarnya.

Muhammad Hadi turut mengakui kekhilafannya sebagai seorang bapa kerana terleka seketika hingga menyebabkan anak tersayang hampir kehilangan nyawa.

"Berdasarkan tragedi ini, saya akan sentiasa berwaspada dan tidak akan sesekali leka walaupun sesaat apabila ia melibatkan aktiviti air.

“Ini kerana aktiviti berkenaan sangat berbahaya dan berisiko tinggi terutamanya jika ada anak kecil.

"Kami berharap peristiwa ini akan diambil sebagai iktibar dan pengajaran bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!