'Hayyan sudah tak bernafas, badan kaku, muka bertukar biru'

SHAH ALAM - Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki pengunjung Kolam Air Panas Gadek, Alor Gajah, Melaka yang bertindak pantas menyelamatkan anaknya yang hampir lemas.
Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Hadi Hilman berkata, anaknya, Muhammad Hayyan, 5, yang hampir lemas di pusat rekreasi tersebut berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Menceritakan peristiwa yang berlaku pada 11 Januari lalu, Hadi menjelaskan, anak bongsunya didapati hilang daripada pandangan sebelum dimaklumkan tentang kejadian lemas berkenaan.
"Waktu itu, saya tengok Hayyan sudah tak bernafas, badan kaku, lemah dan muka bertukar biru.
"Syukur ada beberapa individu tawarkan CPR (bantuan pernafasan) dan dia terus dibawa ke hospital.
"Alhamdulillah, anak saya sudah pulih dan keluar dari hospital pada Khamis lalu," katanya.
Terhutang budi dengan tindakan pantas orang awam, Hadi bersama isterinya nekad mencari semua individu terlibat untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih.
Malah dia turut meminta orang ramai menyebarkan video yang dimuat naiknya supaya sampai ke pengetahuan mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut.
"Kalau bukan sebab mereka, kami tidak mungkin akan jumpa anak kami sekarang.
"Hayyan pun nak jumpa mereka untuk ucap terima kasih," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!