Berbeza bangsa tapi satu hati

A
A
A

PENDUDUK Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Derga Jaya di sini boleh duduk semeja di kedai kopi tanpa mengira agama dan bangsa.

Pengerusi KRT Taman Derga Jaya, Anuar Yatim, 55, berkata, keterbukaan tersebut merupakan gambaran keharmonian dan perpaduan antara kaum yang menjadi tunjang utama penduduk dalam kawasan kediaman yang mempunyai hampir 2,000 unit rumah itu.

Beliau berkata, kawasan tersebut telah membuktikan bahawa perbezaan budaya dan agama bukanlah penghalang untuk mewujudkan sebuah komuniti yang harmoni meskipun dengan komposisi penduduk berbilang bangsa terdiri daripada 60 peratus masyarakat Cina, 30 peratus Melayu manakala selebihnya India.

“Setiap kali diadakan aktiviti seperti sambutan Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina atau Hari Malaysia, masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama akan turut serta.

“Kami duduk semeja, makan bersama dan bersembang mesra, malah perbezaan warna kulit tidak menjadi satu masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Anuar (tiga dari kiri) bersama sebahagian AJK KRT Taman Derga Jaya di sebuah kedai.
Anuar (tiga dari kiri) bersama sebahagian AJK KRT Taman Derga Jaya di sebuah kedai.

Beliau menambah, penduduk taman perumahan terbabit juga tidak kekok untuk duduk bersama ketika menjamu selera atau bersukan.

“Kalau ada penduduk Cina yang sedang lepak beramai-ramai di kedai kopi, kita pun boleh sertai mereka sekali.

“Di padang pula ada penduduk Melayu, Cina dan India yang main bola sepak bersama-sama setiap hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

AJK KRT Taman Derga Jaya melawat kediaman penduduk sempena Hari Pongal.
AJK KRT Taman Derga Jaya melawat kediaman penduduk sempena Hari Pongal.

Anuar berpandangan, nilai toleransi dan kompromi juga jelas terpancar dalam kehidupan seharian mereka.

“Apabila mengadakan jamuan, menu disesuaikan supaya semua kaum dapat menikmati makanan tanpa melanggar pantang larang budaya masing-masing.

“Kami belajar adat resam setiap kaum dan dari situlah wujudnya rasa hormat dan saling memahami antara satu sama lain,” tambahnya.

Anuar (tiga dari kiri) bersama sebahagian AJK KRT Taman Derga Jaya di sebuah kedai.
Anuar (tiga dari kiri) bersama sebahagian AJK KRT Taman Derga Jaya di sebuah kedai.

Katanya, perpaduan juga terbukti apabila dia diberi peluang memegang jawatan sebagai Pengerusi KRT Taman Derga Jaya untuk memimpin rakan-rakan lain yang terdiri daripada pelbagai bangsa walaupun kaum Melayu hanya mewakili 30 peratus penduduk.

“Ahli jawatankuasa KRT Taman Derga Jaya dianggotai oleh 24 individu yang mana 15 daripadanya ialah Cina, Melayu (tujuh) dan India (dua).

“Namun, kami dapat berbincang dengan baik dalam mesyuarat dan boleh menerima pandangan yang disuarakan untuk manfaat semua kaum,” katanya.

Beliau berkata, penduduk KRT Taman Derga Jaya yang berbilang bangsa hidup seperti adik-beradik dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun berbeza, kami tidak ada masalah langsung antara satu sama lain dan saling bantu-membantu apabila diperlukan. Di sini, kita hidup seperti keluarga. Berbeza bangsa tapi satu hati,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!