Yayasan Restu sasar hasil al-Quran terjemahan 50 bahasa dunia

Ahmad Maslan (empat dari kanan) bersama Abdul Latiff (dua dari kiri) melihat pelbagai mashaf al-Quran pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 14, Shah Alam pada Rabu.
Ahmad Maslan (empat dari kanan) bersama Abdul Latiff (dua dari kiri) melihat pelbagai mashaf al-Quran pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 14, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Restu menyasarkan untuk menghasilkan al-Quran terjemahan dalam 50 bahasa di seluruh dunia.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, sehingga kini, yayasan itu telah berjaya menghasilkan terjemahan al-Quran dalam 25 bahasa dengan tujuan untuk memartabatkan al-Quran peringkat dunia.

Menurut beliau, usaha itu bermula sejak sekian lama dengan penyalinan al-Quran yang pertama disemak dan mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di negara ini.

"Kita dapat melihat perjalanan panjang ini, bermula dari penyalinan al-Quran pertama sejak ratusan tahun yang lalu, hingga kini ia berkembang ke seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pra Pelancaran Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 14, Shah Alam pada Rabu.

Abdul Latiff memberitahu, Yayasan Restu telah menghantar al-Quran terjemahan ke beberapa negara, antaranya United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, dan Afrika Selatan.

Menurut beliau, kejayaan itu menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara yang memainkan peranan penting dalam penyebaran al-Quran ke luar negara.

"Setiap al-Quran yang dihasilkan adalah hasil karya anak-anak tempatan dari A hingga Z, dari tulisan Alif hingga Ya.

Artikel Berkaitan:

"Semuanya dihasilkan oleh rakyat Malaysia dari segi penulisan, hiasan, dan cetakan, ia semua dilakukan di sini dan kita akan tunjuk macam mana kita memartabatkan daripada asal menyalin al-Quran dulu.

"Kita ada mushaf kita yang pertama sejak ratus tahun Islam di Malaysia dan kita dapat lihat tentang cara kita buat (menghasilkan al-Quran) dan sekarang telah berkembang ke seluruh i dunia," kata beliau.

Beliau memberitahu, naskah al-Quran bukan sahaja membanggakan negara, malah memberikan peluang kepada umat Islam terutamanya anak-anak muda untuk terlibat dalam aktiviti itu.

"Ini adalah tempat yang sangat istimewa, satu-satunya di dunia yang menggabungkan seni dan ketelitian dalam penghasilan al-Quran," tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha yang dilaksanakan Yayasan Restu itu turut disokong kerajaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah memainkan peranan besar dalam mempromosikan al-Quran terjemahan di peringkat antarabangsa.

"Baru-baru ini, Perdana Menteri telah menyerahkan sebuah al-Quran besar dari Malaysia bersama al-Quran terjemahan bahasa Inggeris kepada pemimpin Islam di sebuah masjid di London.

"Sebelumnya, beliau juga telah menyerahkan al-Quran terjemahan di Korea Selatan dan beberapa negara lain dalam lawatan luar negara," ujar beliau.

Katanya, suatu ketika, al-Quran yang dihantar ke Denmark telah dibakar yang mana mengundang reaksi keras daripada kerajaan Malaysia.

"Susulan kejadian tersebut, Perdana Menteri telah mengarahkan setiap al-Quran dibakar, Malaysia melalui Yayasan Restu menghasilkan sejuta al-Quran untuk dihantar ke seluruh dunia," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!