Hentikan tol percuma musim perayaan kurang mesra rakyat - Mohd Ikhmal

IPOH - Keputusan menghentikan pemberian tol percuma pada musim perayaan disifatkan sebagai tindakan yang kurang mesra rakyat.
Bekas Penyelidik Malaysia Institute of Transport UiTM (MITRANS), Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, keputusan yang dibuat kerana beban kewangan dan kesesakan lalu lintas itu dirasakan kurang tepat dengan tidak mengambil kira kepentingan rakyat.
Menurutnya, tol percuma hanya diberi beberapa hari dalam setahun itu memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang memang terkesan dengan kos perjalanan tinggi.
"Alasan kesesakan dilihat kurang masuk akal apabila rakyat balik kampung bukan kerana tol percuma tetapi kerana mahu beraya bersama keluarga.
"Sekiranya hendak mengatasi kesesakan, kerajaan boleh fokus pada strategi pengurusan trafik seperti menyelaraskan waktu perjalanan, membuka lorong tambahan dan menggunakan teknologi pintar untuk kawal trafik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Mohd Ikhmal, beberapa negara lain turut melaksanakan dasar sama.
"Korea Selatan bagi tol percuma masa perayaan besar macam Chuseok dan Seollal. Ini bukan sahaja kurangkan kos rakyat, tapi juga kukuhkan hubungan keluarga.
"Daripada terus hentikan tol percuma, kerajaan boleh cuba alternatif lain antaranya kerjasama dengan syarikat konsesi tol menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Kalau tak mahu bagi percuma, diskaun pun sudah cukup membantu," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan juga diminta mempertimbangkan semula keputusan itu dan cari penyelesaian lain agar orang ramai dapat balik kampung dengan hati tenang tanpa terbeban dengan kos tol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!