Rafizi beri penjelasan projek tergendala di Kedah

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan pelaksanaan projek di Kedah yang tergendala bukan berpunca daripada kerajaan Pusat sebaliknya masalah membelenggu kerajaan negeri itu sendiri.

Beliau berkata, kerajaan Kedah pernah memohon pinjaman dari kerajaan Persekutuan untuk projek pembangunan fasa lima Kulim Hi-Tech Park (KHTP) itu.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya telah meluluskan pinjaman sebanyak RM195 juta kepada kerajaan negeri tersebut untuk membiayai projek berkenaan.

"Bagaimanapun, masalah timbul selepas pinjaman diluluskan menyaksikan projek berkenaan belum boleh dimulakan kerana tanah yang dikemukakan semasa permohonan pinjaman itu bermasalah dan pembelian tidak dapat diteruskan.

"Kalau belum ada tanah, projek tidak dapat diteruskan. Memang syarat mana-mana peruntukkan kerajaan Persekutuan ialah hal pemilikan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum peruntukkan diluluskan semula," katanya menerusi Facebook pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tuduhan kononnya sengaja memangsakan rakyat Kedah dengan tidak meluluskan permohonan projek di negeri itu.

Mengulas lanjut, Rafizi menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, baru-baru ini.

"Baru-baru ini, nama saya diseru di DUN Kedah. Saya dituduh sengaja memangsakan rakyat Kedah dengan tidak meluluskan permohonan projek di Kedah. Tuduhan ini tidak beri gambaran yang penuh. Cerita sebenarnya adalah begini.

"Kerajaan Kedah sekarang mendakwa mereka telah mengenal pasti tanah baru yang perlu dibeli dan menuntut supaya Kementerian Ekonomi meluluskan juga pelepasan peruntukan RM195 juta itu walaupun hal pemilikan tanah belum diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada banyak pengalaman yang projek diumumkan dahulu dan peruntukan telah disediakan tetapi projek itu tergendala kerana isu pemilikan tanah yang masih tertunggak. Sedangkan Kerajaan Persekutuan perlu meminjam wang untuk menyediakan RM195 juta itu dan membayar faedah pinjaman," katanya.

Tambah Rafizi, sekiranya projek di negeri berkenaan terus tergendala, beliau bimbang bahawa kesannya harus ditanggung oleh rakyat negara ini.

Ujarnya, ini kerana rakyat Malaysia perlu menanggung faedah pinjaman selama mana Kerajaan Kedah tidak dapat menyiapkan projek terbabit.

"Kita semua sedia maklum rekod pentadbiran Kerajaan Kedah sekarang bila projek tak jadi, dia akan kata saya tukang baca saja atau pun itu projek swasta bukan projek saya.

"Lain kali, sebelum seru nama saya untuk kandungan TikTok, semaklah dulu keseluruhan fakta isu itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!