Boost catat GTV RM5.6 bilion, kukuhkan kedudukan perbankan serantau

Sheyantha (empat dari kiri) dan Fozia (lima dari kiri) pada taklimat mengenai prestasi Boost di Kuala Lumpur.
Sheyantha (empat dari kiri) dan Fozia (lima dari kiri) pada taklimat mengenai prestasi Boost di Kuala Lumpur.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENERAJU teknologi kewangan (fintech) serantau, Boost telah mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2024 dengan mencapai nilai transaksi kasar (GTV) RM5.6 bilion sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan perbankan serantau.

Boost Bank juga telah memanfaatkan pertumbuhan tersebut dengan memperoleh deposit berjumlah RM700 juta dalam tempoh enam bulan pertama operasi,manakala Boost PayFlex turut mengagihkan lebih daripada RM240 juta sejak dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pencapaian itu membuktikan kebolehan mereka menawarkan solusi kewangan yang inovatif seiring dengan citarasa pengguna.

Menurutnya, dengan memperluaskan rangkaian perkhidmatan pembiayaan, gerbang pembayaran, deposit dan pelaburan, ia mampu memberi impak bermakna kepada peniaga kecil atau individu untuk berkembang ke arah perbankan digital.

“Tahun 2024 menandakan pencapaian penting untuk Boost, mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju fintech yang kini telah memperluaskan rangkaian perkhidmatan kami untuk merangkumi produk dan perkhidmatan perbankan.

“Pertumbuhan kami mencerminkan kepercayaan pengguna dan rakan kerja kami, di samping permintaan solusi kewangan digital inovatif yang semakin meningkat.

“Ekonomi digital Asia Tenggara yang semakin berkembang pesat, Boost kekal untuk menawarkan solusi kewangan digital yang mudah diakses dan transformatif,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, 80 peratus daripada pengguna mengakses perkhidmatan melalui app Boost untuk berintegrasi dengan mudah ke dalam aktiviti kewangan harian pengguna.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, faktor utama pertumbuhan itu kerana ciri-ciri inovatif dan kerjasama strategik dengan pemain utama seperti MYDIN, CKS Retail, Servay, Bataras serta Farley, selain penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama, CelcomDigi.

Ulasnya, perkhidmatan tersebut terbukti memenuhi citarasa pengguna dan jika digabungkan, merangkumi 40 peratus deposit keseluruhan sejak ia dilancarkan.

“Pelancaran Boost Bank merupakan langkah penting dalam perjalanan kami untuk mentakrif semula keterangkuman kewangan

“Kami berbangga dengan kerjasama strategik yang membolehkan kami mencapai segmen yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.

“Melalui strategi utama ini, kami membolehkan komuniti ini beralih kepada perbankan digital dengan menyatukan solusi digital dan inovatif selain pemahaman mendalam berkaitan perkhidmatan kami,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!