Lebih ramai pegawai bank akan ditahan - SPRM

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan lebih ramai pegawai bank terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram bersama sebuah organisasi perunding kewangan akan ditahan suruhanjaya itu dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menyemak salah laku membabitkan organisasi tersebut dan percaya ramai individu terlibat dalam sindiket itu.
Menurutnya, fokus Ops Sky yang dilaksanakan oleh SPRM pada masa ini adalah memburu suspek utama, setelah 12 suspek terlibat dalam kegiatan itu direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.
"Bahagian siasatan SPRM yakin dan percaya masih ramai individu terbabit dalam kegiatan ini.
"Usaha berterusan dilakukan bagi memberkas suspek utama dan siasatan masih dijalankan pada masa ini," katanya pada Khamis.
Jelasnya, siasatan mendapati sindiket tersebut membantu memohon pinjaman daripada pelbagai bank, tetapi dalam masa sama mengambil komisen setelah pinjaman dipohon diluluskan.
Tambahnya, pihak sindiket akan mengambil sekitar satu peratus daripada nilai pinjaman diluluskan dan dibahagikan kepada ahli kumpulan terlibat termasuk pegawai bank.
Dalam Ops Sky yang dijalankan, seramai 12 orang ditahan di sekitar Lembah Klang, termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus serta seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan.
Media sebelum ini melaporkan seramai 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket rasuah dan pengubahan wang haram didalangi pegawai bank beberapa institusi kewangan negara.
Ramai mangsa terperdaya dengan kegiatan itu apabila pihak sindiket berjaya menyelinap masuk ke kementerian dan jabatan di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!